Artikel

Baca@Ramadan: Jangan Jadi Hamba Ramadan

oleh Hairul Faizal Adli Ab Ghani pada 16 Jul 2013

Kita lebih mudah bangun sahur daripada bangun solat subuh. Kita hafal waktu berbuka tetapi tidak peduli waktu solat yang lain. Kita berbuka pada awal waktu, tetapi solat di penghujung waktu. Apa yang kita lakukan ini, menyalahi sunnah dan melanggar keutamaan sesuatu perkara. Bahkan kita adalah orang yang zalim, kerana tidak meletakkan sesuatu perkara pada tempatnya.

 Sesungguhnya kita masih berpura-pura dalam beribadah. Kita keliru dengan diri kita. Adakah kita sekadar memperhambakan diri kepada Ramadan? Cukuplah beberapa hari di bulan Ramadan, kita sudah dapat menilai siapa diri kita yang sebenarnya. Menjadi hamba Ramadan tidak akan melayakkan diri kita untuk masuk ke syurga. Hanya hamba Allah yang berpuasa dengan penuh takwa akan mendapat segala ganjaran yang dijanjikan. Adakah kita betul-betul mahu menjadi hamba Allah?

 Ramadan masih panjang dan pintu keampunan sentiasa terbuka. Tingkatkan martabat diri kita daripada hamba Ramadan kepada hamba Allah yang sebenar-benarnya. Menjadi hamba kepada perkara lain adalah satu kehinaan. Namun, apabila kita menjadi hamba Allah, itu adalah suatu kemuliaan.

 Fenomena hamba Ramadan ini sangat ketara. Ramai orang yang mengambil peluang di bulan Ramadan untuk memulakan hijrah dan berubah menjadi lebih baik. Yang tidak menutup aurat, mulai memakai tudung. Yang jarang ke masjid, mulai tergerak mahu ke masjid pada setiap waktu solat. Banyak lagi perubahan positif yang dapat kita saksikan di sepanjang bulan Ramadan. Seandainya mereka hanya berubah di bulan Ramadan, merekalah hamba Ramadan.

 Bagaimana pula dengan diri kita yang sudah mahu menjadi hamba Allah? Apakah reaksi kita kepada hamba Ramadan seperti mereka? Seandainya kita menghina dan mengutuk mereka, jadilah kita orang yang lebih hina daripada hamba Ramadan. Hamba Allah sentiasa bersangka baik dan mendoakan kebaikan untuk orang lain.

 Doakanlah agar diri kita dan semua umat Islam yang mulai berubah di bulan Ramadan akan terus beristiqamah dengan kebaikan walaupun di luar bulan Ramadan. Seandainya mereka istiqamah, mudah-mudahan kita sentiasa mendapat ganjaran pahala yang tidak putus-putus.

 Ya Allah, sesungguhnya kami ini hamba-Mu yang lemah. Berikanlah kekuatan untuk kami menjadi hamba-Mu yang bertakwa.

 

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024