Artikel

Baca@Ramadan: Ramadan Bulan Muhasabah

oleh Roziyah pada 27 Jul 2011

Setahun sekali bulan Ramadan datang bagi menginsafkan kembali umat Islam.

Umat Islam terbahagi kepada tiga golongan. Golongan pertama adalah mereka yang menganiaya diri sendiri. Sedihnya golongan ini ramai sekali.

Kedua, umat Islam yang ada pekerti namun masih bergelumang dengan perkara yang dibenci Allah seperti riba dan rasuah. Golongan ketiga pula adalah yang sedikit jumlahnya. golongan ketiga ini adalah mereka yang faham kehidupan ini anugerah Allah.golongan ini faham yang hidup perlu dilaksanakan kerana Allah. Mereka tertib dan berdisiplin dalam ibadah serta mereka menjauhi perkara yang haram dan mengamalkan apa yang halal.

Pada Bulan Ramadan yang mulia ini, dengan iziNya semua dosa manusia yang beriman dan beramal soleh diampuni Allah kecuali dosa syirik. pun begitu, kita perlu beringat yang dosa itu ada dua jenis. Pertama, dosa kita kepada Allah dan kedua, dosa kita kepada manusia yang lain.

Dosa kepada Allah, apabila kita memohon ampun dan berjanji tidak mengulanginya lagi, Insya Allah diampuni.

Sedangkan dosa sesama manusia bergantung pada kemaafan manusia itu. Kita perlu memohon maaf kepada orang yang kita lakukan kesalahan. Ada banyak contoh kesalahan sesama manusia.

Antaranya pecah amanah dan memakan harta orang lain. Kita perlu sedar selagi kita tidak memohon maaf atas kesilapan kita itu, Allah tidak mengampunkan dosa kita. Atas alasan ini, kita wajar menjaga diri daripada melakukan kesalahan dan dosa kepada orang lain. Apabila melakukan kesalahan, segeralah memohon maaf.

 

Artikel dipetik daripada buku Keajaiban Ramadan tulisan Jaffar Siddiq

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024