Artikel

Bertangan Dan Berkaki Kecil, Penerima Anugerah Khas OKU Kongsi Tips Bangkit Dari Kegagalan

oleh Adzkia Amanah Ugi Suharto pada 12 Jun 2017

Pertama kali melihat beliau, terasa kagum mengetahui bahawa beliau merupakan penerima Anugerah Khas OKU bagi kategori Usahawan bersempena Hari Anugerah OKU peringkat kebangsaan bagi tahun 2014.

Bayangkan sahaja, kita yang cukup sifat ini pun jarang menerima apa-apa anugerah. Inikan pula anugerah diperingkat kebangsaan. Wah! Ini betul-betul satu pembakar semangat.

sukur ibrahim

Dalam perkongsiannya, Sukur berkata bahawa cabaran terbesarnya adalah dalam mengatasi sifat malu terhadap diri sendiri. Memang tak tergambar rasa malu beliau jika sampai pernah menyorok bawah katil, dalam kotak sehingga ke bawah tudung saji!

Mujur dari sini, ayah beliau bertindak proaktif dengan mendapatkan bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat di bawah program Pemulihan Dalam Komuniti. Disinilah kehidupan beliau berubah 180 darjah.

Walaupun tidak semudah orang lain, Sukur berjaya belajar menguruskan hidup sendiri dan melayakkan dirinya menerima pendidikan formal. Jangan main-main kerana beliau sering mendapat tempat pertama di sekolah, dan pernah juga menjadi ahli jawatankuasa surau semasa pengajian di pengajian pra-universiti selain mewakili universiti ke luar negara. Fuh, memang mengagumkan betul.

sukur dan heliza

Namun begitu, beliau pernah juga gagal dalam tiga bisnes besar, Sukur optimis melihat semua yang pernah dilaluinya sebagai ruang belajar. “Ambil apa yang baik dan belajar daripadanya”, “Pilih untuk bahagia dengan cara sendiri” serta “Jangan bandingkan hidup kita dengan orang lain” adalah antara falsafah yang dipegang beliau.

“Pilih untuk bahagia dengan cara sendiri”

Ditanya berkenaan pandangan beliau tentang stigma negatif masyarakat terhadap golongan OKU terutama bagi yang terlibat dengan pekerjaan meminta sedekah, dengan nada kesal beliau tidak menafikan pernyataan tersebut sama sekali.

Namun beliau turut menjelaskan bahawa tidak kurang ramai juga dalam kalangan OKU masa kini yang berjaya atas usaha masing-masing. Ruang dan peluang yang diberikan daripada masyarakat sangat membantu golongan ini untuk membuktikan kemampuan diri.  

buku sukur

Terkesima seketika bila membelek buku Inspirasi Sukur. Banyak gambar kejayaan beliau yang bukan calang-calang. Ada gambar-gambar dengan orang kenamaan seperti menteri, selebriti dan atlet serta gambar berprogram di peringkat antarabangsa dan ada juga ketika  menjelajah dunia!

Klik di sini untuk membeli buku Sukur Ibrahim dengan tawaran istimewa

sukur ibrahim

Semua kejayaan ini tidak akan datang tanpa sokongan padu daripada kedua ibu bapa beliau. Bagi yang memiliki anak atau ahli keluarga  yang kurang upaya, ini nasihat beliau untuk anda:

1. Selalu ingat bahawa tiada siapa yang minta untuk ia jadi begini. Anda adalah insan pilihan Tuhan.

2.  Latih mereka untuk mampu hidup sendiri dan berdikari.

3. Jangan putus asa mendidik mereka. Jangan, jangan dan jangan.

“Saya sudah menjadi tembikar. Saya terhasil daripada pembakaran yang lama”. Terdiam sejenak. Adatnya orang yang berjaya adalah orang yang sabar dibakar cabaran. Lantas kita bagaimana?

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024