Budaya LGBT yang Semakin Menular Era Kini: Suami Gay Isteri Mak Nyah

oleh Amirah pada 04 Aug 2015

suami_gay_isteri_mak_nyah

Pada awal 2015 yang lalu, dunia digemparkan dengan kisah transformasi seorang pemegang pingat emas Olimpik tahun 1976, Bruce Jenner menjadi Caitlyn Jenner pada usianya 65 tahun.

Seorang ikon Olimpik kepada transgender wanita. Apakah yang menyebabkan beliau mengubah dirinya selepas puluhan tahun hidup sebagai lelaki? Bagaimana fikirannya boleh sampai sejauh itu?

Buku ini bukan untuk bercakap mengenai Caitlyn tetapi ia mengupas isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Penulis yang merupakan seorang seorang peguam bela dan peguam cara serta peguam syarie, mengupas isu LGBT ini daripada sudut undang-undang.

 Ini kerana gerakan LGBT ini menggunakan saluran undang-undang untuk menghalalkan fahaman mereka bukan sahaja di peringkat nasional tetapi global.

Isu ini masih mentah di Malaysia tetapi di negara Barat ia sudah menghampiri  suatu fenomena normal. Penulis dengan pengalaman yang beliau ada ketika berdepan dengan aliran pemikiran ini,

menghuraikan secara terperinci latarbelakang gerakan LGBT ini sehingga ke perjuangan dan tuntutan yang mereka inginkan agar LBGT ini diterima sebagai satu norma masyarakat.

Golongan LGBT ini rata-rata bercakap mengenai hak dan kebebasan. Ini kerana mereka selalu dikecam oleh golongan yang menentang mereka. Tuntutan terbesar mereka adalah hak persamaan.

Mereka ingin dilayan sama seperti golongan heteroseksual (golongan cederung terhadap jantina berlainan). Mereka ingin mengubah nilai yang dipegang sebahagian besar masyarakat dunia.

Memetik kata-kata penulis, ‘kebudayaan masyarakat Malaysia dibentuk dengan menjadikan agama sebagai asas, manakala kebudayaan Barat tidak menjadikan nilai-nilai agama sebagai asas penting.’

Ketidakhadiran nilai inilah yang mendorong manusia mentadbir dirinya ke arah yang membinasakan.

Gerakan ini harus dibendung sebelum ia melarat jauh ke dalam nilai masyarakat Malaysia amnya dan umat Islam khususnya. Memiliki naskhah ini umpama perisai awal bagi menangkis anasir-anasir merosak.