Artikel

BUKU: Bagaimana nak tanam minat membaca?

oleh Asri Yussof pada 25 Dec 2018

Soalan yang selalu saya ditanya, “macam mana nak tanam minat membaca?”, nak tanam memang kena bergaul dengan bukulah jawapannya. Dalam kes saya, saya mula membaca dengan serius sejak tingkatan 2 di sekolah. Saya mula membaca sebab di rumah banyak buku. Kakak sulung saya antara orang yang selalu beli buku dan saya mula pinjam buku-buku dari beliau.

Jadi ibu bapa boleh mulakan dengan anak-anak masing-masing iaitu dengan wujudkan rak buku dan ruang membaca yang baik kepada anak-anak di rumah. Berikan mereka duit untuk membeli buku. Dengan cara ini, anak-anak akan kurang dengan gadjet dan lebih masanya dengan buku. Ya, mulakan dengan buku komik dan buku cerita yang mereka suka. Galakkan genre buku yang mereka suka.

buku

Menanam minat membaca juga boleh dimulakan dengan membeli buku. Beli saja- jangan kita fikir bila mahu membacanya. Percayalah suatu hari nanti, buku tersebut akan kita belek dan baca juga. Biar saja masa yang menentukan. Yang penting perkara itu boleh menanam minat kita untuk terus membaca dan membaca.

Bila masuk ke universiti, minat saya kepada bahan bacaan mula berubah sedikit demi sedikit. Dari buku yang ringan saya mula membaca kepada buku-buku yang lebih berat dan ilmiah. Sebab itu saya tak herdik mereka yang mula membaca dengan buku-buku yang biasa di mata kita. Sebab minat boleh berubah. Yang penting ‘Kita suka membaca’

Lain orang lain citarasa dia, jangan sebab kita sudah banyak membaca kita jadi orang yang suka merendah-rendahan orang lain dan mengutuk bahan bacaan mereka. Kita rasa buku kita sahaja yang paling ilmiah dan paling bagus.

Minat membaca juga boleh lahir dari kawan-kawan. Seperti yang kita tahu, kawan kita akan cerminan kita. Jadi memilih kawan juga penting. Kita akan jadi lebih syok membaca bila kita ada kawan yang suka membaca. Kita boleh kupas buku yang kita baca dengan kawan baik.

Yang penting adalah kerja keras ibu bapa yang mahu anaknya menjadi ulat buku. Tanamkan minat dari kecil lagi. Bak kata pepetah- melentur buluh biarlah dari rebungnya.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024