Artikel
Buku Kanak-Kanak, Komik PTS Dapat Perhatian Penerbit Indonesia
oleh Roziyah pada 05 Jul 2011
Hubungan PTS dengan penerbit-penerbit Indonesia semakin hari semakin erat. PTS juga selaku penerbit nombor satu Malaysia sentiasa mengadakan pertemuan dengan penerbit-penerbit di Indonesia bagi mendapatkan buku-buku terbaik untuk diterjemahkan di Malaysia selain membawa buku-buku dari penulis Malaysia untuk dilesenkan di luar.
Setiap tahun, PTS sentiasa menghantar rombongan ke Indonesia bagi mendapatkan perkembangan buku di sana dan bertukar-tukar maklumat mengenai perlesenan buku.
Bagi tahun ini, PTS menghantar 4 wakil editor bagi mendapatkan maklumat buku-buku terbaik Indonesia untuk dilesenkan di Malaysia.
Menurut ketua Delegasi ke Indonesia, Tuan Imran Azmi menjelaskan penerbit di Indonesia berminat melesenkan buku kanak-kanak dan komik dari PTS.
"Kita sudah membawa beberapa buku bagi ditunjukkan kepada penerbit Indonesia. Mereka berminat untuk menlesenkan beberapa buku kanak-kanak dan komik yang diterbitkan di PTS," ujar Tuan Imran.
Antara buku yang menarik minat penerbit Indonesia termasuklah buku Siri Puteri, Buku Teknik Surah Yusuf dan beberapa buah buku umum terbitan PTS.
Delegasi Malaysia turun ke Indonesia sempena dengan Pesta Buku Jakarta 2011. Melalui pesta buku ini, wakil PTS sempat bertemu dengan beberapa penerbit besar Indonesia termasuklah Kumpulan Mizan, Kumpulan Gramedia, Gema Insani, Gramata Publishing dan banyak lagi.