Artikel

Demi Masa

oleh [email protected] pada 26 Jul 2011

Selesai solat subuh berjemaah, tiba-tiba minda ini teringat kepada surah nombor 103 iaitu surah al-Asr. Berhubung dengan surah ini Imam Syafie berkata, "Andaikata tidak diturunkan apa-apa surah kecuali surah ini, ia sudah cukup bagi manusia kerana isinya merangkumi ilmu-ilmu yang terdapat dalam al-Quran". (al-Asas fit Tafsir, jil. 11, ms 6667) Tambahan daripada itu, Imam Tabrani meriwayatkan dalam al-Awsath dan Baihaqi dalam asy-Sya'ab, jika dua orang sahabat Nabi bertemu mereka tidak akan berpisah tanpa membaca surah ini disusuli dengan memberi salam.

Allah berfirman, "Demi masa! Sesungguhnya manusia berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka berpesan-pesanan dengan kebenaran serta berpesan-pesanan dengan kesabaran".

Ayat-ayat ini mengingatkan kita bahawa kita sentiasa rugi kerana terbabas keutamaan. Bukannya kita tak buat kerja, tetapi kerja yang kita buat bukan yang utama. Bukannya tidak beraktiviti tetapi aktiviti yang dilakukan tidak utama. Bukannya tidak sibuk tetapi masalahnya kita sibuk pada perkara yang tidak utama. Justeru, apakah perkara yang utama? Dalam ayat ini Allah sebutkan empat perkara utama yang perlu kita jaga dan lakukan, iaitu, memelihara iman, mengerjakan amal yang salih, berperanan dengan menasihati serta mengajak orang kepada kebaikan, serta mempunyai sikap yang betul iaitu bersabar dalam kehidupan.

Iman yang mantap memerlukan dalil dan hujah. Justeru ilmu adalah penting agar iman keyakinan tidak tergugat. Berhubung dengan amal, ramai orang melakukan amal tetapi Allah tidak menerima sebarang amal. Allah hanya menerima amal yang salih. Amal yang salih ialah amal yang dilakukan dengan hati yang ikhlas berpandukan landasan syariat. Kedua-duanya (iaitu ikhlas dan syariat) perlu wujud serentak. Iman dan amal salih untuk diri sendiri perlu disusuli dengan usaha untuk memperbaiki keluarga dan masyarakat. Untuk itu kita perlu prihatin tentang apa yang berlaku dalam masyarakat serta mempunyai kemahiran untuk membuat perubahan yang positif dalam masyarakat. Dalam berperanan kita tidak boleh tergesa-gesa dan main hentam keromo. Justeru perlu ada kesabaran...

Semoga Allah memberikan kepada kita kesedaran dan kekuatan untuk melaksanakan agenda-agenda yang utama ini seperti yang terkandung dalam surah al-Asr.

Hasil Nukilan :

Dr. Danial Zainal Abidin
[email protected]
http://danialzainalabidin.com

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (198801006125) © 2000 - 2025