Artikel

Detektif Yaya dan Penunggu Gunung Embun

oleh Izzati Nadia ZI pada 05 Mar 2016

Siapa yang tidak kenal dengan BoBoiBoy dan rakan-rakan adiwiranya? Sebut sahaja nama BoBoiBoy, pasti adik-adik akan teringat pada slogan kuasa Halilintar BoBoiBoy.

Namun, kali ini, Animonsta Studios membawakan siri nomik (Novel dan Komik) pertama mereka daripada animasi BoboiBoy yang bertajuk ‘Detektif Yaya’ di dalam siri Penunggu Gunung Embun.

Pasti adik-adik juga mengenali siapa Yaya, bukan? Seorang gadis comel memakai serba merah jambu dan baik hati yang sering membawa biskut yang dibuatnya untuk disajikan kepada rakan-rakannya yang lain.

Biskut yang menjadi mimpi ngeri rakan-rakannya. Seperti yang kita tahu, Yaya mempunyai kuasa terbang dan kekuatan yang luar biasa.

Dalam siri ini, mengisahkan Yaya dan rakan-rakannya, Yin, Gopal dan Fang menyertai program perkhemahan di Taman Rimba Gunung Embun yang akan berlangsung selama dua hari tiga malam usai berakhirnya musim peperiksaan.

Namun ada syaratnya, bagi para pelajar Sekolah Rendah Pulau Rintis yang berminat menyertai perkhemahan ini mereka perlu lulus dalam peperiksaan pada kali ini.

Ekspedisi perkhemahan memang merupakan suatu pengalaman yang menyeronokkan bagi kanak-kanak, lagi menarik ia turut disertai bersama sahabat handai.

Namun, di dalam buku terbitan PTS Junior kali ini, penulis turut memberi peringatan kepada adik-adik tentang cabaran sebenar perkhemahan dan beberapa tips persediaan sebelum memulakan aktiviti ini.

Selain daripada itu, buku ini juga menerapkan nilai-nilai murni dan moral yang boleh dijadikan motivasi untuk adik-adik. Gaya penulisan yang digunakan oleh penulis juga sangat mudah faham untuk para pembaca muda.

Jalan penceritaan yang ringkas dan tidak terlalu panjang, sudah tentu tidak akan membuatkan adik-adik bosan.

Oh ya, apa yang unik mengenai buku ini ialah penulis turut menyelitkan elemen nomik iaitu gabungan di antara komik dan novel. Adik-adik pasti tidak menggemari untuk membaca buku tanpa sebarang imej bukan?

Oleh itu, adik-adik harus mendapatkan buku ini di pasaran kerana pasti adik-adik akan merasa terhibur apabila membaca pengembaraan perkhemahan Yaya bersama rakan-rakannya.

Selamat mengembara bersama Detektif Yaya!

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024