Artikel

Detik-Detik Penting Sejarah Islam: Muawiyah Mencari Keredhaannya Sebuah Biografi Awal

oleh Dr Sakinah Salleh pada 28 Oct 2015

Buku biografi Muawiyah merupakan hasil garapan Al Ghazali Tim Penyelidik GTPD. Ia diterbitkan pertama kali oleh PTS Publishing House pada 2015, ISBN 978-967-411-446-6.  Buku ini mengandungi 158 mukasurat bercetak dan mengandungi 19 bab termasuk rujukan.

Pendahuluan buku ini didahului dengan menjelaskan keturunan Muawiyah, pengislaman dan sumbangan beliau serta kehidupan Muawiyah pada zaman Khalifah Ar-Rasyidin. Pada bahagian ini juga disertakan penghargaan berkaitan peribadi Muawiyah, baik daripada Nabi Muhamamd SAW, para sahabat yang hidup sezaman dengan Muawiyah, dan juga daripada kalangan ulama seperti Ibnu Taimiyyah.

Garapan buku ini amat baik sekali bila memuatkan kisah Muawiyah sebelum memeluk Islam dan selepas memeluk Islam. Bahkan ia memberikan impak kepada pembaca betapa hebat keimanan para sahabat Rasulullah apabila memuatkan kisah tragedi Mata Air Raji sebagai permulaan bab.

Buku ini juga banyak merakamkan detik-detik penting dalam sejarah Islam seperti pembukaan Kota Mekah, kematian, pembunuhan Khalifah Umar Al Khatab, Saidina Uthman dan Saidina Ali, Perang Jamal, Perang Siffin, Majlis Tahkim dan banyak lagi peristiwa penting, seperti penglibatan serta sumbangan Muawiyah sebagai Gabenor Syam yang berkarisma, bijaksana dan tegas.

Selain menyediakan peta rujukan bagi setiap peristiwa, buku ini juga menyertakan bersama kronologi peristiwa melibatkan Muawiyah. Ini membantu pembaca memahami perjalanan kisah serta memudahkan membuat rujukan.

Buku ini juga amat bagus untuk ditelaah dan dijadikan sumber rujukan kerana adanya  fakta penting dengan bersandarkan hadis sahih seperti hadis yang direkodkan oleh At-Tarmizi dan Ibnu Majah berkenaan perlunya Uthman mempertahankan jawatannya sebagai khalifah bila tindakan itu berdasarkan arahan Nabi Muhammad.

Sekaligus buku ini menjawab sesetengah tanggapan buruk terhadap Muawiyah yang merupakan sahabat nabi yang banyak menyumbang kepada penyebaran dakwah Islam. Ia juga membantu pembaca memahami sejarah perkembangan Islam dan peranan besar para sahabat dalam memperjuangkan Islam dan mengukuhkan Islam.

Buku biorgrafi ini disusun secara ringkas namun padat dengan informasi. Ia bersesuaian bagi dijadikan rujukan para pelajar dan juga sesuai dibaca oleh semua lapisan masyarakat. Bahkan daripada pembacaan buku ini, pembaca mampu membuat analisa terhadap kepimpinan Muawiyah sebagai khalifah pertama Bani Umaiyyah.

Memetik doa Rasulullah SAW khas buat Muawiyah seperti yang tercatat dalam sahih At-Tirmidzi, “Ya Allah, jadikanlah dia seorang pemimpin yang terpimpin dan pimpinlah (manusia) dengannya”  cukup menggambarkan betapa Muawiyah mempunyai karisma kepimpinan yang hebat pada ketika itu. Ia juga menunjukkan pengiktirafan Nabi SAW terhadap Muawiyah akan kualiti kepimpinannya.


 

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024