Artikel

Empayar Mongol di Mata Dunia: Genghis Khan Penakluk Dunia

oleh Nor Fatin Amira Salleh pada 17 Mar 2016

Bercakap tentang sejarah, tentu saja ia berkaitan dengan ketamadunan manusia. Tamadun dan empayar kerajaan sering dibincang atas kejayaan dan kejatuhannya.

Apa yang pasti di sebalik kewujudan sesebuah tamadun itu, tokoh juga penting untuk diperhatikan.

Genghis Khan adalah antara pemerintah yang berjaya menjadikan empayar dan kerajaannya megah di seantero dunia. Beliau menggunakan gelaran “Khagan” bermaksud ‘Raja dari segala raja’. ‘Penakluk dunia’ satu ungkapan yang bertepatan bagi menggambarkan diri beliau.

Penulisnya, Al-Ghazali menyingkap kembali perjalanan hidup Genghis Khan sedari kecil hingga kemangkatannya. Tokoh yang menakluk dunia dari Asia hingga jauh ke Eropah adalah seorang yang berjiwa besar.

Walaupun beliau bukan tokoh yang beragama Islam, namun itu bukanlah fokusnya. Lebih penting adalah peribadinya sebagai sosok pejuang pada ketika itu.

Tentu sahaja modus operandi dalam mengembangkan empayarnya (jikalau dilihat dalam konteks dunia hari ini) sangat bertentangan dengan prinsip demokrasi liberal dan hak asasi manusia yang dunia amalkan sekarang.

Kepakaran beliau dalam mengatur strategi ketenteraan adalah satu perkara yang boleh diperhatikan. Ketepikan kekejaman beliau dan angkatan tenteranya yang rakus menindas orang lain semata-mata bagi menakluk dunia.

Peperangan antara empayar sehingga memusnahkan ketamadunan manusia (pada ketika itu) adalah biasa kerana itu adalah metod politik pada ketika itu.

Namun, kita patut perhalusi bagaimana beliau mampu menakluk dunia dan menyatukan golongannya yang berpecah-belah. Modus operandi politik ini yang boleh dicontohi.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024