Artikel

Enam Tahun Ungguli Hadiah Utusan : Sri Rahayu Terus Pegang Takhta Juara

oleh Roziyah pada 01 Nov 2011

29 penulis berjaya merangkul pelbagai hadiah melalui enam kategori yang dipertandingkan dalam hadiah Sastera Kumpulan Utusan ExxonMobil 2010 (HSKU) yang bertemu kemuncaknya malam tadi.

Buat kali keenam, Sri Rahayu Mohd Yusop terus mengungguli tahta juara apabila diumumkan sebagai pemenang tempat pertama kategori Novel Remaja HSKU melalui novelnya Bima Sakti Menari.  Beliau membawa pulang hadiah bernilai RM7000 beserta hadiah iringan.

Tempat kedua kategori Novel Remaja HSKU pula dirangkul oleh penulis muda yang semakin meningkat naik namanya, Hazwani Rameli atau nama penanya Rabecca Ilham melalui novelnya, Bumi Lestari. Kemenangan itu membolehkan beliau membawa pulang wang tunai RM4500 beserta hadiah iringan. Sementara itu, Muhammad Syurki Rosli membawa pulang hadiah wang tunai RM3000 beserta hadiah iringan di tempat ketiga kategori itu melalui novelnya, SMS.

Upacara penyampaian hadiah disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia, YAB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Haji Mohd Yassin di The Royale Chulan Kuala Lumpur.

Lain-lain penerima hadiah malam ini merupakan 3 pemenang utama melalui setiap kategori Cerpen, Cerpen Remaja dan Puisi serta 6 penerima hadiah perhargaan melalui setiap kategori yang sama.

Setiap pemenang utama kategori Cerpen menerima hadiah wang tunai RM 3000,  kategori Cerpen Remaja RM2500 serta kategori Puisi RM1000. Manakala, nilai hadiah penghargaan merupakan wang tunai RM500 (puisi) RM 800 (cerpen Remaja & Cerpen).

Sementara itu, kategori Rencana Sastera menawarkan satu hadiah bagi tahun ini yang dimenangi oleh Syed Mohd Zakir Syed Othman (S.M Zakir) dengan rencana beliau Sindrom Midiocrity dalam Sastera (Bahagian Pertama) dan sambungan Sindrom Pasca Peradaban (Bahagian Akhir).  Beliau membawa pulang hadiah wang tunai RM1000 bersama hadiah iringan.

Manakala, kategori Kajian Sastera dimenangi oleh Dr.  Amida @ Hamidah Abdul Hamid dengan kajian beliau Estetik Alam Dalam Puisi yang secara langsung melayakkan beliau membawa pulang wang tunai RM2000.

Turut hadir menyampaikan hadiah kepada para pemenang ialah dua sasterawan negara iaitu YBhg. Dato’ Dr. Ahmad Kamal Abdullah (Kemala), YBhg. Dato’ Dr. Mohd Anuar Hj Rethwan serta Naib Presiden Kanan, Penyiaran Operasi, Astro, Rohaizad Mohamed.

Hadiah Sastera Kumpulan Utusan yang dianjurkan buat kali ke-26 ini antara acara sempena Program Sastera Utusan 2011 yang turut memuatkan Malam Puisi Utusan 2011 yang dianjurkan pada 5 Oktober lalu di Mydin Mall, Ayer Keroh, Melaka.

Karya-karya pemenang Hadiah itu diadili oleh Prof. Madya Dr. Hashim Ismail selaku pengerusi, Dr. Mohamad Saleeh Rahamad (Timbalan Pengerusi), Dr. Pabiyah Toklubok @ Hajimaming, Wan Norlidza Wan Mohd Zain, Che Abdullah Che Ya, Dr. Kamariah Kamaruddin, Prof. Madya Arbak Othman dan Dr. Mohd Hanafi Ibrahim.

Turut hadir ke majlis berprestij ini termasuklah Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin, Pengerusi Subsidari-Subsidari ExxonMobil Malaysia, Tuan Hugh W. Thompson, serta Pengarah Eksekutif Kumpulan Utusan, Datuk Mohd Nasir Ali, Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024