Fenomena Terhangat Yang Menghiburkan: Running Man The Comic (Edisi Bahasa Melayu)

oleh Amirah pada 01 Oct 2013

running_man

Tarian kuda Gangnam Style sudah menggegarkan seluruh dunia. Artis Kpop menjadi pujaan dan kegilaan ramai anak-anak gadis. 

Drama Korea pula pasti diselangi dengan gelak ketawa dan esak tangis jutaan penontonnya dari pelbagai peringkat usia.

Apa-apa sahaja yang ada kaitan dengan Korea, pasti akan menjadi topik hangat perbualan semasa. Fenomena luar biasa yang menyebarkan budaya Korea ke seluruh dunia ini dikenali dengan Gelombang Hallyu.

Malaysia juga tidak ketinggalan dilanda Gelombang Hallyu. Antara yang paling hangat di Malaysia pastinya Running Man, iaitu rancangan televisyen paling popular di Korea yang ditonton oleh jutaan peminat di seluruh dunia.

Rancangan yang berkonsepkan game show ini menjadi fenomena dan disukai ramai. Setiap episodnya sentiasa ditunggu-tunggu dan biasanya akan ditonton berulang-ulang kali oleh peminat setianya.

Tambah menggembirakan para peminatnya, komik asal Running Man dalam bahasa Korea, kini sudah diterbitkan di Malaysia dalam bahasa Melayu. PTS Pop Sdn. Bhd. diberi lesen dan hak penerbitan secara eksklusif bagi komik popular ini.

Telatah ahli Running Man pasti mengundang tawa yang berpanjangan, mendebarkan, dan kadang-kadang mampu mencuit emosi hingga mengalirkan air mata para penonton.

Dalam komik edisi pertama ini, ahli Running Man perlu menyelamatkan Yoona, seorang penyanyi popular yang diculik oleh Prof. Blagoose yang mahu menguasai dunia dan menyebarkan kuasa kegelapan.

Kemerduan suara dan jeritan kesakitan Yoona menjadi senjata bagi menjayakan misi jahatnya itu. Berjayakah Running Man menjayakan misi yang diterima oleh mereka?