Artikel

Festival Buku Kanak-Kanak Fokus Perkayakan Sastera dan Bahan Kanak-Kanak

oleh Roziyah pada 31 Oct 2011

Festival Buku Kanak-Kanak 2011 yang sedang berlangsung di Perpustakaan Kuala Lumpur menjadi tumpuan ibu bapa, anak-anak dan guru bagi memperkayakan aktiviti sastera dan bahan kanak-kanak di Malaysia.

Festival yang dilancarkan pada 27 Oktober lalu ini membuka ruang dan peluang kepada guru, pelajar dan ibu bapa bagi memperkayakan lagi aktiviti sastera di Malaysia.

Kali ini Perpustakaan Kuala Lumpur  menjadi tuan rumah kepada festival khas buat kanak-kanak ini dan persiapannya sudah mula dirancang sejak awal tahun lalu lagi.

Hampir 20 penerbit yang mengambil bahagian dalam pameran dan jualan buku kanak-kanak dan remaja bagi memeriahkan lagi festival yang julung-julung kali diadakan ini.

Festival yang dianjurkan bermula 27 Oktober hingga 2 November ini juga memberi peluang kepada anak-anak orang asli melawat dan menyertai aktiviti yang dianjurkan dalam festival buku kanak-kanak ini.

Majlis besar-besaran ini dirasmikan oleh Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Dr. Khair Mohamad Yusof.

“Program seperti ini menjadi program prima di Malaysia dan di rantau Asia.  Saya juga berharap program ini dapat menjadi perintis bagi menjalinkan kerjasama dengan penerbit dari luar negara bagi menjual dan mendapatkan lesen penerbitan.

“Kementerian juga sedia menjalin kerjasama supaya dapat menjadikan festival ini satu acara tahunan.” jelas Dr. Khair Mohamad Yusof.

Dr, Khair Mohamad juga menjelaskan penerbit di Malaysia juga perlu terbitkan buku kanak-kanak yang mempunyai kualiti.

Pelbagai aktiviti menarik disediakan khas buat pengunjung di Pesta Buku Kanak-Kanak 2011 yang julung-julung kali diadakan ini.

Anak-anak berpeluang menyertai pelbagai aktiviti menarik termasuklah sesi bercerita dan pertandingan bercerita, demonstrasi origami, pameran buku, sesi bersama penulis, seminar kesusteraan kanak-kanak dan banyak lagi aktiviti menarik disediakan.

Antara aktiviti menarik lain yang disediakan termasuklah Pameran Buku Kelainan Upaya (IBBY), Galeri Guru Malaysia, Sesi Bercerita, Sesi Bercerita Group Kopi-Kopi dan Rentak Hijau, Pertandingan Bercerita, Forum Sastera Kanak-Kanak, Sesi bersama penulis Ain Maisarah dan banyak lagi.

Sertai PTS bermua 27 Oktober hingga 2 November ini dari jam 10 pagi sehingga 6 petang di Dataran Merdeka Kuala Lumpur. Ramai-ramai memeriahkan festival buku kanak-kanak ini.


Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024