Artikel
Hasilkan Karya Dengan Minat
oleh Roziyah pada 18 Jun 2010
Minat yang wujud dalam diri harus diteruskan kerana kehidupan akan menjadi lebih kreatif dengan melakukan perkara yang diminati.
Penulis serba boleh, Nuriazam Ismail yang ditemuramah berkata jika seseorang itu mempunyai minat contohnya menulis mereka perlu meneruskan minat yang ada kerana ia datang dalam diri.
"Ada yang ingin saya mengajar cara menulis, tetapi bagi saya bidang ini tidak perlu diajar dan ia datang dalam diri sendiri," jelas Nuriazam.
Bercerita sejarah awal pembabitannya dalam bidang penulisan, beliau berkata, minat mula timbul apabila banyak membaca manuskrip.
"Sebelum ini saya menghasilkan ilustrasi buku. Jadi sebelum saya menghasilkan ilustrasi saya akan membaca keseluruhan manuskrip tersebut. Saya juga minat membaca buku-buku lain," kata beliau.
Bapa kepada tiga orang anak ini menjadikan persekitarannya sebagai idea untuk menghasilkan karya contohnya apabila menulis karya berbentuk fiksyen beliau akan mengadaptasikan kehidupan masa kini ke masa depan untuk mengubahnya menjadi sesuatu yang kreatif.
ketika ditanya mengenai karya yang sedang dihasilkan beliau mengungkapkan mengenai Bidan Terjun.
"Semua orang boleh menjadi Bidan Terjun. Dalam novel terbaru, saya bercerita mengenai Bidan Terjun. Sesetengah dari kita akan melakukan kerja di luar bidang kita dan ada ketikanya kita terpaksa menjadi Bidan Terjun," kata beliau.
Karya yang beliau hasilkan diharapkan mampu melahirkan pembaca yang kreatif.
"Jangan terlalu terkongkong dalam kehidupan ini," ujar beliau.
Nuriazam Ismail banyak menghasilkan novel bersama PTS antaranya A Untuk... melalui PTS Profesional serta Gitar dan Lolipop bersama PTS One.
Selain itu beliau juga menghasilkan karya kolaborasi yang diterbitkan dibawah label PTS One. Antaranya adalah Siri Penyiasat Ekstrovet, Siri Kutakluki Angkasa, Kaki Bola, dan Nomik Impian Harlina, Azam Farid, Tekad Khalili, Askar Berjalan Kaki serta Komik Misi Aurora.