Hudud Adalah Insurans Perlindungan

oleh Asri Yussof pada 09 Sep 2016

law-1063249_1280

Saya bertuah kerana terpilih menjadi rakyat Malaysia yang penuh warna-warni dengan masyarakat majmuk. Keharmonian ini kian terasa saat kita sama-sama menyambut ulang tahun kemerdekaan negara beberapa hari lalu.

Sebagai negara yang bertunjangkan agama Islam, saya kagum kerana ia serba-sedikit memberi gambaran bahawa sistem pemerintahan Islam mengambil berat kesatuan rakyat tanpa mengira bangsa dan agama.

Masjid

Namun sayang sekali, ada sesetengah umat Islam yang serba kekurangan dari segi kefahaman dan pendedahan mengenai undang-undang Islam.

Perkara ini mungkin berlaku disebabkan faktor persekitaran yang sentiasa berubah dari semasa ke semasa.

Bercakap soal undang-undang Islam, Malaysia tidak terlepas daripada membicarakan soal hudud. Ada baiknya sebelum soal hudud ini dibahaskan, kita mengenali dahulu serba sedikit tentang konsep jenayah dalam Islam.

Jenayah dalam perundangan Islam, menurut Dato’ Dr Haron Din dalam bukunya Manusia dan Islam, merujuk kepada setiap perbuatan atau tindakan yang ditegah syarak, sama ada berkenaan harta, jiwa, atau tubuh badan.

Buku Manusia dan Islam

Bagi setiap jenayah ini pula diperuntukkan tiga bentuk hukuman untuk dilaksanakan oleh pemerintah dan setiap satu itu dikhususkan untuk kesalahan-kesalahan tertentu. Bentuk-bentuk hukuman itu ialah Hudud, Qisas, dan Takzir.

Hudud secara dasarnya adalah hukuman yang telah ditetapkan oleh syarak dan wajib dilaksanakan sebagai menunaikan hak Allah. Beberapa contoh kesalahan yang boleh dikenakan hudud ialah mencuri, berzina, meminum minuman yang memabukkan dan murtad.

Bagaimanapun setiap kesalahan ini akan dikenakan hukuman yang telah ditetapkan, sekiranya mahkamah menperoleh bukti-bukti yang kukuh.

Hudud

Saya bawakan contoh, pencuri akan dikenakan hukuman hudud potong tangan. Fikiran yang waras akan mempersoalkan kewajaran pelaksanaan hukuman ini.

Jika dilaksanakan, pasti ramai manusia kudung lantaran kes curi yang berleluasa pada zaman ini.

Islam tidaklah sekejam itu. Hukuman hudud potong tangan bagi mereka yang mencuri ini mengambil kira persoalan mengapa ia mencuri dan apakah barang yang dicurinya sebelum hukuman dilaksanakan.

Antara syarat yang membolehkan hukuman ini dilaksanakan adalah:

1. Pencuri itu seorang yang cukup umur (baligh) dan sempurna akal.

2. Sebab kecurian itu berlaku bukanlah kerana terlalu lapar atau terlalu miskin.

3. Harta yang dicuri adalah kepunyaan orang yang tertentu dan mempunyai nilai.

4. Orang itu mencuri dengan kehendak sendiri, bukan dipaksa-paksa.

Pelaksanaan hukuman hudud bukanlah sekadar suka-suka. Islam memandang jenayah sebagai satu masalah moral yang berat, sekiranya tidak ditangani dengan bijak akan meragut ketenangan dan kerukunan hidup masyarakat seluruhnya.

muslim

Saya sedar, sepanjang beberapa sesi penerangan mengenai hukum hudud sebelum ia benar-benar dibincangkan di dewan Parlimen, ada segelintir individu yang kurang bersetuju untuk dilaksanakan.

Namun harus kita cermati, hudud bukan sahaja melibatkan hukuman, tetapi ia lebih kepada menjaga kehormatan dan keharmonian dalam bermasyarakat.

Jangan kita terlalu fokus pada hukuman potong tangan atau sebatan sehingga 100 kali kerana akal yang waras pasti tidak akan membenarkan.

Apa yang perlu diteliti adalah kesan daripada hukuman itu, sama ada dalam jangka masa panjang atau pendek. Hukuman pula tidak dijatuhkan sewenang-wenangnya selagi tidak dinyatakan dengan bukti kukuh.

Perbuatan jenayah adalah perbuatan yang terkutuk. Oleh itu, sewajarnya mereka diberi balasan yang setimpal dengan kesalahan yang dilakukan.

Penjara

Dan Islam pula menyediakan balasan yang sesuai dengan kesalahan jenayah, bertujuan memberi perlindungan kepada umum dari ancaman penjenayah dan mengawal jenayah itu sendiri dari merebak.