Ini Sebab Kenapa Buku Napoleon Hill Yang Ditulis 80 Tahun Dahulu Masih Relevan

oleh Asri Yussof pada 04 Oct 2017

napoleon_hill_1

“Kita semua tahu setiap apa yang dicipta dan diperoleh bermula dengan kemahuan. Dalam pusingan pertama, kemahuan melalui fasa perjalanan yang pada mulanya hanya di awang-awangan, kemudian ia masuk ke dalam bengkel imaginasi. Di sini, segala perancangan bagi merealisasikan kemahuan itu mula diatur dan dilaksanakan oleh tubuh badan, seterusnya menjadi sesuatu yang konkrit dan nyata.” - Napoleon Hill. 

Tidak mudah untuk manusia berkongsi rahsia kejayaan dan kekayaan mereka. Namun, Napoleon Hill hadir dan mencoret prinsip-prinsip manusia yang luar biasa bagi mencapai kekayaan dalam hidup. Beliau membongkar dan menyedarkan masyarakat bahawa untuk menjadi kaya, tidak cukup dengan mempunyai angan-angan tetapi perlu berprinsip!

Think And Grow Rich

Kita mempunyai kekuatan untuk merancang takdir kewangan kita namun usaha yang betul perlu disusuli.‘Think and Grow Rich’ merupakan naskah himpunan rahsia dan fakta yang mampu mengubah takdir kewangan kita semua.

Dalam edisi terbaru ini, Dr. Arthur R. Pell memberikan contoh lelaki dan wanita yang, pada masa-masa yang lalu telah membuktikan prinsip-prinsip Hill yang ditulis di dalam buku ini. Iaitu dengan menghadirkan kisah kejayaan pencapaian teratas seperti Bill Gates dan Steven Spielberg, dia membuktikan bahawa falsafah Hill adalah benar-benar berlaku pada hari ini.

Bil Gates, Steven Spielberg

Rahsia yang sungguh praktikal dan masih tetap segar walaupun puluhan tahun kebelakang telah digunakan. Benarlah orang kata, sesuatu yang hebat walau sudah lama berlalu, aromanya masih tetap harum.

Melalui buku ini, langkah-langkah yang terperinci bagaikan menjadi guru kepada para pembaca, membantu dan mendorong pembaca menjadi seorang pemikir yang berwawasan. Walaupun tidak menyentuh soal kemahiran teknikal dalam bidang kewangan, tetapi buku ini membawa kelainan. Penulis menggunakan kemahiran psikologi bagi mengecilkan halangan, lalu membuka ruang dan peluang untuk mengecap kemewahan yang diimpikan.

Napoleon Hill menulis buku ini pada 80 tahun yang lalu, pada 1937, tetapi buku ini masih kekal evergreen sepanjang masa untuk dibaca pada hari ini. Ia diterbitkan semasa Kemelesetan Besar yang melanda banyak negara sekitar tahun 1929-1941.

Napoleon Hill Quote


Buku yang mempunyai 16 bab utama ini turut menghuraikan tentang kuasa master minda dan permulaan bagi setiap kejayaan. Antara kunci utama yang dikongsikan oleh Napoleon Hill dalam menjadi orang kaya adalah mempunyai kemahuan yang membara.

Manusia yang mempunyai kemahuan yang membara, fikiran mereka seperti seorang raja. Perjuangan mereka juga bukan calang-calang dan kejayaan mereka yang akan membayar penatnya kegigihan mereka.

Selain itu, Hill juga berkongsi sisi lain yang berlawanan dengan kejayaan iaitu kegagalan. Senarai penyebab kegagalan yang disenarai panjang sebanyak 30 perkara, terkandung dalam buku ini mampu digunakan untuk menyemak diri sendiri satu per satu.

MENARIK: Langkah Pertama Untuk Berjaya Yang Dicadangkan oleh Napoleon Hill

Pentingnya untuk mengenal kelemahan kerana kelemahan yang disedari boleh mengecilkan risiko kegagalan. Antara penyebab kegagalan yang dikaji beliau adalah tidak menumpukan perhatian ke atas usaha. Hal ini dipersetujui hampir semua pihak yang berjaya kerana kejayaan dan fokus tidak dapat dipisahkan.

Pada saat kematian Hill pada tahun 1970, Think and Grow Rich telah terjual lebih dari 20 juta naskah, dan pada 2015 lebih dari 100 juta naskah telah dijual di seluruh dunia. Buku ini menduduki tempat keenam dalam majalah BusinessWeek dalam kategori buku perniagaan yang kekal terlaris selepas 70 tahun diterbitkan.

Napoleon Hill ialah pengarang yang berasal dari Amerika Syarikat yang mempunyai pengkhususan dalam bidang pergerakan pemikiran baru yang merupakan salah satu pengeluar genre moden dalam kesusasteraan kejayaan peribadi.

Klik di sini untuk membeli karya agung dari Napoleon Hill

MENARIK: 5 Buku Terjemahan Yang Evergreen Sepanjang Zaman

Beliau mula menulis pada umur 13 tahun sebagai “wartawan gunung” untuk surat khabar bandar kecil dan menjadi penulis motivasi Amerika yang disayangi. Dia dianggap sebagai salah seorang penulis hebat yang berjaya.

Jangan pernah takut melakar mimpi kerana di zaman kini, tiada lagi impian yang dianggap gila. Impian yang tidak tercapai dek akal itu adalah impian yang akan membuka mata dunia apabila ia tercapai.