Artikel
Isu Pengajaran Sains & Matematik Dalam Bahasa Inggeris
oleh Helmi pada 07 Aug 2005
oleh Awang Sariyan Persatuan Linguistik Malaysia LATAR BELAKANG 1. Dasar Pendidikan Kebangsaan negara ini digubal dengan berdasarkan ciri-ciri kebangsaan, dengan salah satu asas pentingnya ialah penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utamanya. Dasar ini terkandung dalam Penyata Razak 1956, Penyata Rahman Talib 1960, Akta Pelajaran 1961 dan Akta Pendidikan 1996. 2. Sistem Pendidikan Kebangsaan yang mula terlaksana pada tahun 1970 dalam sistem persekolahan dengan kemuncaknya ialah penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia, telah berjaya membentuk warganegara yang bersatu padu, berjati diri kebangsaan dan pada waktu yang sama telah melahirkan jutaan tenaga professional dan tenanga kerja dalam yang menjadi aset pembangunan negara dalam pelbagai bidang. 3. Sistem pendidikan yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar itu juga telah dapat memenuhi konsep pendemokrasian pendidikan, khususnya dalam kalangan anak-anak Melayu yang dalam sistem pendidikan pada zaman penjajahan Inggeris mendapat peluang pendidikan yang cukup terhad. PERUBAHAN KE ARAH BAHASA INGGERIS SEBAGAI BAHASA PENGHANTAR UTAMA 1. Pada tahun 2002 Kerajaan telah memutuskan penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa penghantar mata pelajaran sains dan matematik di peringkat sekolah hingga ke tingkatan enam dan matrikulasi dan pelaksanaan keputusan itu telah bermula pada tahun 2003 di tahun satu dan empat (peringkat sekolah rendah), di tingkatan satu, empat dan enam bawah (di peringkat sekolah menengah) dan juga di pusat matrikulasi. 2. Fakta yang sebenarnya ialah bahawa keputusan itu bukan terhad pada dua mata pelajaran seperti yang difahami oleh kebanyakan orang, tetapi melibatkan semua mata pelajaran yang berasaskan sains dan matematik. Menurut unjuran yang dibuat oleh Kementerian Pendidikan (kini Kementerian Pelajaran), pada tahun 2008, 80% peperiksaan bagi mata pelajaran yang berkaitan dengan sains dan matematik akan dilaksanakan dalam bahasa Inggeris. 3. Di universiti awam pula, boleh dikatakan semua pemimpinnya telah membuat kenyataan media bahawa mereka sedang berusaha ke arah menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa penghantar kursus-kursus sains dan teknologi, dengan menekankan sasaran seperti 70% kursus dalam bahasa Inggeris. 4. Pelaksanaan dasar baharu itu dengan sendirinya akan mengubah dasar yang selama puluhan tahun dilaksanakan, iaitu daripada sistem pendidikan yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama kepada sistem pendidikan yang berbahasa penghantar utama bahasa Inggeris. Perubahan ini merupakan sesuatu yang amat drastik dan menimbulkan implikasi dalam beberapa aspek seperti yang dinyatakan di bawah ini. IMPLIKASI 1. Daripada sudut kenegaraan, kita akan kehilangan satu ciri penting yang menjadi acuan jati diri dan pembinaan minda bangsa, iaitu bahasa kebangsaan yang selama ini berjaya mengilmukan anak bangsa dan pada waktu yang sama mengikat perpaduan kebangsaan. Kita mungkin maju dalam konteks kemajuan fizikal tetapi akan kehilangan salah satu maruah bangsa kita, iaitu bahasa. Prinsip yang disebut dalam Wawasan 2020, iaitu maju dalam acuan kita sendiri akan terjejas dengan sendirinya. 2. Bahasa Melayu yang telah dirancang sejak awal kemerdekaan menjadi bahasa ilmu dalam semua bidang, khususnya dengan penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka yang diberi amanah memperkaya bahasa tersebut dalam bidang perbendaharaan kata, termasuk istilah akan terbantut perkembangannya. Istilah yang jumlahnya hampir mencecah 1 juta dalam ratusan bidang, termasuk dalam bidang terkini seperti aeroangkasa yang telah dihasilkan oleh ribuan pakar bidang sejak kira-kira setengah abad lalu akan menjadi sia-sia apabila istilah-istilah itu tidak digunakan lagi untuk bidang-bidang yang berkaitan dengan sains dan teknologi. 3. Buku dan bahan penerbitan lain (jurnal, monograf, majalah, cakera padat dll.) dalam bahasa Melayu bagi bidang sains dan teknologi tidak akan berkembang malah terbantut juga penghasilannya kerana sudah tidak ada khalayak yang memerlukannya lagi disebabkan bidang-bidang itu telah diajarkan dalam bahasa Inggeris dari peringkat sekolah hingga universiti. Maka akan terjadi kemuflisan ilmu, terutama ilmu sains dan teknologi dalam bahasa Melayu. 4. Dengan unjuran bahawa bahasa Inggeris akan mendominasi 80% ruang sebagai bahasa penghantar dalam sistem pendidikan negara, maka kedudukan bahasa Melayu hanya berbaki 20% sebagai bahasa ilmu dan hal ini dengan sendirinya menafikan peruntukan dalam Akta Pendidikan yang meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama dalam sistem pendidikan negara. 5. Akibat daripada implikasi (2) (3) dan (4) di atas, implikasi jangka panjang yang amat buruk ialah merosotnya taraf yang telah dicapai oleh bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan tamadun tinggi kepada sekadar bahasa untuk komunikasi sosial dan bahasa untuk bidang kemanusiaan semata-mata, bukan bahasa untuk bidang sains dan teknologi. 6. Implikasi negatif yang cukup segera dirasakan, terutama oleh anak-anak di luar bandar, yang majoritinya orang Melayu ialah gangguan dalam penguasaan ilmu sains dan matematik disebabkan oleh faktor penggunaan bahasa asing. Pelajar mengalami masalah kerana terpaksa memindahkan konsep-konsep sains dan matematik daripada bahasa asing ke dalam bahasa ibundanya dalam keadaan pelajar tidak atau belum menguasai bahasa asing itu. Masalahnya bertambah serius kerana guru yang diwajibkan mengajarkan sains dan matematik dalam bahasa Inggeris merupakan guru yang selam ini dilatih mengajarkan mata pelajaran itu dalam bahasa Melayu. 7. Kajian DBP yang dijalankan oleh pasukan penyelidik UKM pada tahun 2004 menunjukkan bahawa prestasi pelajar umumnya merosot dalam mata pelajaran yang menjadi sasaran dasar baharu, iaitu sains dan matematik dan juga bahasa Inggeris. Malah, di luar dugaan pencapaian mereka dalam mata pelajaran bahasa Melayu turut terjejas, mungkin disebabkan oleh kekeliruan dan kejutan yang dihadapi. Kajian Dr. Norhashimah Jalaludin dari Institut Alam dan Tamadun Melayu UKM mendapati bahawa 75% pelajar tidak setuju sains dan matematik diajarkan dalam bahasa Inggeris, 77% setuju bahawa bahasa Melayu mampu menyampaikan sains dan matematik dengan berkesan, 71% meminati sains dan matematik yang diajarkan dalam bahasa Melayu, 70% yakin akan cemerlang jika sains dan matematik diajarkan dalam bahasa Melayu, dan 87% tidak setuju bahasa Inggeris menggantikan bahasa Melayu. Kajian itu juga menunjukkan bahawa hampir 50% pelajar tingkatan 2 yang dikaji gagal dalam mata pelajaran sains dan matematik dalam peperiksaan semester pertama tahun 2004. 8. Untuk kali pertama Kementerian Pendidikan mengakui kesan negatif pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris, sesudah beberapa kenyataan media oleh Menteri Pendidikan terdahulu menegaskan peningkatan prestasi pelajar dalam mata-mata pelajaran itu sesudah diajarkan dalam bahasa Inggeris. Menteri Pelajaran, dalam kenyataan media yang disiarkan oleh stesen-stesen televisyen pada malam 30 Jun 2005 dan dalam akhbar pada 1 Julai 2005 mengisytiharkan bahawa peratusan pelajar di luar bandar yang lulus dalam mata pelajaran sains dan matematik amat membimbangkan apabila hanya 41% pelajar tingkatan satu dan 43% pelajar tingkatan dua di luar bandar yang lulus dalam mata pelajaran sains, sementara 57.5% pelajar tingkatan satu dan 59.6% pelajar tingkatan dua di luar bandar yang lulus dalam mata pelajaran matematik. 9. Dalam jangka lima tahun pelaksanaan dasar baharu ini, dijangka ratusan ribu pelajar akan gagal atau rendah pencapaiannya dalam mata pelajaran sains dan matematik dan fenomena ini malangnya melibatkan majoriti pelajar di luar bandar yang jelas terdiri daripada anak-anak Melayu. Implikasi ini secara langsung menjejaskan keutuhan bangsa Melayu yang memang masih jauh ketinggalan dalam pelbagai bidang di negara ini. Bidang pendidikan yang diharapkan dapat melonjakkan citra dan martabat bangsa Melayu akan sebaliknya menjadi alat yang menjatuhkan bangsa Melayu sendiri. 10. Daripada segi sosial dan politik, kesan-kesan buruk daripada pelaksanaan dasar baharu ini akan menggoncang kestabilan sosial dan politik negara, disebabkan akan wujud ketidakseimbangan pencapaian akademik yang akhirnya melebarkan jurang antara kaum dan kelas masyarakat. CADANGAN 1. Dasar yang meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama dalam sistem pendidikan negara hendaklah dikekalkan kerana telah terbukti berjaya melahirkan masyarakat yang bersatu padu, berciri kebangsaan dan mampu menjadi tenaga penggerak pembangunan negara dalam semua bidang kehidupan. 2. Kelemahan penguasaan bahasa Inggeris dalam sejumlah kalangan lepasan sekolah dan universiti hendaklah diatasi dengan memberikan tumpuan kepada masalah pengajaran bahasa Inggeris di sekolah, maktab dan universiti, terutama dengan melengkapkan guru dan pensyarah yang betul-betul mahir menguasai bahasa dan kaedah pengajarannya, melengkapkan prasarana seperti makmal bahasa,menyemak sukatan pelajaran agak sesuai dengan keperluan negara dan menambah waktu pengajaran mata pelajaran itu. 3. Untuk keperluan khusus pula, misalnya bidang diplomasi dan perdagangan antarabangsa, perlu direncanakan kursus khas dalam penguasaan bahasa-bahasa asing yang penting kepada pegawai yang terlibat dalam bidang-bidang tersebut. Demikian juga, kursus bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa asing yang lain untuk tujuan peningkatan kecekapan berbahasa perlu dimasukkan dalam rancangan kursus dalam perkhidmatan di jabatan atau agensi tempat pegawai bertugas, jika memang timbul keperluan tersebut. 4. Kementerian Pelajaran perlu membuat tinjauan melalui lawatan sambil kerja, berkaitan dengan pelaksanaan dasar bahasa dalam sistem pendidikan di negara-negara maju yang majoritinya tetap menggunakan bahasa kebangsaan masing-masing, walaupun usaha penguasaan bahasa Inggeris ditingkatkan untuk memenuhi keperluan. Kongres Bahasa Utama Dunia yang dianjurkan oleh DBP pada 5 - 8 Oktober 2004 telah mengumpulkan maklumat daripada tidak kurang 15 buah negara sedunia yang kebanyakannya termasuk dalam kategori negara maju dan masing-masing jelas maju dalam bahasa kebangsaannya sendiri. 4. Kajian yang bebas dan telus perlu disegerakan untuk mengkaji implikasi pelaksanaan dasar baharu itu dalam pelbagai dimensi - ekonomi, sosial, politik, jati diri dan sebagainya. Kajian-kajian yang sedia dijalankan seperti kajian DBP-UKM dan beberapa orang sarjana dapat dijadikan titik tolak. Persatuan Linguistik Malaysia. 3 Julai 2005.