Artikel

Jangan Baca Buku Ini Kalau Anda Tidak Mahu Ketawa

oleh Muhammad Syarafuddin Sulaiman pada 09 Jul 2015

Kadang-kadang dalam hidup ini, akan ada benda yang buat kita macam mahu melompat-lompat. Tidak semua benda mampu beri kita rasa begitu, tetapi memang ada sesetengah benda, kita punya seronok itu memang lain macam.

Contoh dia, buku Mat inilah.

Punyalah seronok, sampaikan buku masuk sahaja di Bookcafe, aku terus pergi beli.

Ok, kita berikan konteks sedikit. Aku ini editor. Tiap-tiap hari menghadap buku. Kemudian bukan setakat itu, aku ini memang  ada jugalah terlibat serba sedikit dengan buku Mat (untuk yang pandai mencari, nama aku ada dalam buku).

Maknanya aku boleh sahaja minta buku percuma. Naskhah editorial. Naskhah promosi. Naskhah lebih.

Apa sahajalah namanya. Tetapi aku sanggup keluarkan duit sendiri. Demi Mat. Demi Catatan Mat Luthfi.

Kemudian aku sanggup pula pos di Facebook dengan penuh rasa bangga. Sebab jadi antara orang terawal pegang, beli, dan baca.

Bukan setakat itu, siap berani buat ramalan lagi yang cetakan pertama buku ini akan habis dalam masa sekejap.

Memang betul buku ini habis cepat?

Terlebih betul.

Bayanglah selepas ramai sahaja tahu yang Mat keluar buku, ejen sanggup ambil dahulu beratus-ratus naskhah sebagai stok.

Sekarang ini, bayangkan pula yang menjual pakat berbalah. Semua mahu ambil mana-mana stok yang ada. Satu pun satulah.

Permintaan ulang cetak pula sudah jadi macam cetakan surat khabar. Ok, yang ini hiperbola. Tetapi kalau sudah lebih 100,000 naskhah dalam masa 6 bulan, kira banyaklah.

Mungkin ada orang kata Catatan Mat Luthfi ini tiadalah istimewa mana. Ada buku lagi bagus.

Mungkin juga.

Cuma isu banding-membanding ini, memang sampai bila-bila pun tidak selesai. Selera orang lain-lain.

Dan apa yang aku boleh kata adalah: Aku rindu buku yang santai, tetapi tidak kosong.

Aku rindu lawak yang boleh buat kita ketawa berdekah-dekah, tetapi tidak bodoh (ataupun lucah, ataupun…).

Aku rasa Mat mampu beri itu. Dan kalau sudah 100,000 lebih buku di pasaran, maknanya aku tidak keseoranganlah insya Allah.

Aku undi buku ini dengan duit sendiri. Kalau mahu beli, buku Catatan Mat Luthfi ini dijual dengan harga sekeping not oren, campur sekeping not hijau.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024