Artikel

Jejak Kreatif: Latip tulis novel berasaskan sejarah Islam-Berita Harian

oleh Helmi pada 10 Jul 2007

MINAT mendalam terhadap kisah pahlawan pada zaman nabi dan keagungan Islam yang berputik sejak kecil akhirnya mendorong Abdul Latip Talib menghasilkan buku mengenai tokoh penting kebangkitan Islam dalam bentuk novel. Salahudin Penakluk Jerusalem berharga RM26.90 senaskhah, Khalid Memburu Syahid (RM32.90), Iqramah Penentang Jadi Pembela (RM22.90) dan Tariq Menang Ataupun Syahid (RM23.90) ditulis berdasarkan fakta sejarah dan semuanya diterbitkan oleh PTS Publications Sdn Bhd.  Abdul Latip memilih perjuangan keempat-empat tokoh terbabit yang dibaca sejak zaman kanak-kanak untuk diangkat ke dalam buku tulisannya apabila penerbit memberi peluangnya menulis serta mengambil masa setahun untuk menyiapkannya.  Saya merujuk Sirah Nabawi dan pelbagai buku lain yang berkaitan dalam usaha mendapatkan fakta lengkap mengenai keempat-empat pahlawan terbabit sebelum menyusun mengikut kronologi dan menggarapnya dalam bentuk karya kreatif.  Ada yang menganggap buku ini diterjemahkan daripada bahasa Arab sedangkan saya bertungkus lumus meneliti dan mengumpul data mengenainya serta membuat semakan berkali-kali sebelum diserahkan kepada penerbit, katanya pada pertemuan dengan Sastera di Kuala Lumpur, baru-baru ini.  Salahudin Penakluk Jerusalem memuatkan pertempuran kisah pahlawan itu membantu musuhnya, Raja Richard yang sakit dengan memberinya ubat sehingga beliau sembuh dan akhirnya memilih untuk tidak berperang dengan dengan Salahudin.  Raja Richard terfikir Salahudin yang beragama Islam sanggup memberi ubat kepada musuhnya bagi membolehkannya sembuh dan perbuatan terbabit memancarkan keindahan Islam hingga akhirnya menyebabkan pemimpin itu tidak jadi berperang, katanya.  Beliau memberi nilai tambah kepada pembaca bukunya dengan menyelitkan petikan menarik yang diambil daripada terjemahan surah tertentu dalam al-Quran dan kata-kata sahabat nabi pada setiap permulaan bab bukunya dalam usaha memancing minat mereka.  Selain itu, Abdul Latip mendapat maklum balas positif daripada suri rumah yang memberitahu anak remaja mereka membaca buku tulisannya hingga selesai dan pada Pesta Buku Antarabangsa 2007 yang lalu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), ada ibu bapa yang membelinya sebagai hadiah untuk anak masing-masing.  Selain empat novel sejarah Islam itu, dua lagi novel terbarunya yang dijadualkan berada di pasaran pada Ogos ini ialah Si Bongkok Tanjung Puteri dan Setelah Roboh Kota Melaka, kedua-duanya diterbitkan oleh PTS Publications Sdn Bhd.  Sumber: Berita Harian, 10 Julai 2007.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (198801006125) © 2000 - 2025