Artikel

Kalau Ini Haji Yang Terakhir, Saya Redha

oleh Huzaifah Abd Jamil pada 06 Sep 2016

Hati saya mula sebak, tidak sedar air mata mengalir lembut dipipi. Terasa pemergian kali ini ibarat perjalanan menuju kematian. Meninggalkan segala perkara dunia demi menyahut seruan Ilahi semata-mata.

Seluruh ahli keluarga kini sedang berkumpul di Kelana Jaya untuk mengucapkan kata selamat sebelum berangkat ke tanah suci. Dalam sesi bergambar sebagai tanda kenang-kenangan, perasaan sebak semakin mencucuk jiwa.

Saya reda, sekiranya perjumpaan ini adalah yang terakhir sebelum ke alam barzakh.

Kaabah

Sudah sampai saatnya berpisah. Pelbagai kata semangat diberikan sebagai penguat seketika saya bersama suami berada di sana.

“Mudah-mudahan Allah bekalkan kamu dengan bekalan takwa. Jangan lupakan kami dalam doamu.”

Suasana haji kian terasa. Jelas kelihatan dimana-mana, kelibat manusia dalam pakaian ihram mereka. Pakaian ketaatan menyambut panggilan Allah.

ثُمَّ لْيَقْضُوا تَفَثَهُمْ وَلْيُوفُوا نُذُورَهُمْ وَلْيَطَّوَّفُوا بِالْبَيْتِ الْعَتِيقِ

Kemudian, hendaklah mereka menghilangkan kotoran yang ada pada badan mereka dan hendaklah mereka menyempurnakan nazar-nazar mereka dan hendaklah mereka melakukan melakukan thawaf sekeliling rumah yang tua itu (Baitullah). - Surah Al-Hajj, ayat 29

Perjalanan ini benar-benar menggamit perasaan saya. Semakin jauh meninggalkan kampung halaman, kerinduan semakin menghimpit hati. Pada masa yang sama, timbul rasa kesal atas kealpaan diri, pada dosa-dosa lampau yang membuatkan kelopak mata sentiasa basah.

Kaabah

“Ya Allah, terimalah hambaMu ini sebagai tetamuMu. Ampunkanlah segala dosa-dosaku.”

Kata Hasan Al-Basri, “Malaikat menyambut orang-orang yang menunaikan haji dengan memberi salam kepada pengendera unta, berjabat salam dengan pengendera keldai dan memeluk orang-orang yang berjalan kaki.”

Selamat Hari Raya Aidiladha

Nota Editor, Ini adalah coretan Ezee Rahmani dalam pengalaman beliau menunaikan haji yang diabadikan dalam buku Kembara Tetamu Allah terbitan PTS. Lihatlah betapa penghayatan sebelum benar-benar menjejakkan kaki ke Tanah Haram memberi ribuan erti tentang kehidupan. Terkadang kita terlalu leka dalam menempuh kehidupan, namun Tuhan dengan segala sifat Pengasih mengingatkan supaya sentiasa memperbaiki diri yang serba kekurangan ini.

Buku Kembara Tetamu Allah

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024