Artikel
Karipap-Karipap Cinta: Filem Komedi Ceriakan Syawal
oleh Roziyah pada 12 Aug 2011
Baru-baru ini diadakan tayangan perdana dan sidang media Karipap-Karipap bertempat di Cathay Cineleisure, Mutiara Damansara. Filem terbaru yang akan menemui penonton 1 Syawal ini hasil adaptasi daripada novel laris PTS, Karipap-Karipap Cinta tulisan Nazri M. Annuar.
Filem Karipap-Karipap Cinta terbitan Cinematic Pictures hasil adaptasi daripada novel popular PTS ini akan menemui peminatnya di pawagam bermula pada Hari Raya Pertama.
Turut hadir memeriahkan tayangan perdana ini adalah barisan pelakon dan penggerak utama filem ini. Tidak ketinggalan, wakil PTS Pop yang menerbitkan novel Karipap-Karipap Cinta juga turut dijemput bagi memeriahkan tayangan perdana ini.
Melalui sidang media yang diadakan, pengarahnya, Othman Hafsham turut memberi penghargaan kepada seluruh warga kerja PTS yang tidak putus-putus menyokong dan mempromosikan filem terbaru beliau ini.
Pastinya timbul persoalan mengenai judul filem dan juga buku terbitan PTS Pop ini. Kenapa karipap? Ini adalah keistimewaan cerita cinta yang akan disampaikan oleh pengarahnya, Tuan Othman Hafsham kepada penonton Syawal ini.
'Karipap-Karipap Cinta' mengisahkan dua insan berbeza. Ali yang bekerja di syarikat penerbitan majalah merupakan seorang lelaki yang gemar melepak bersama rakan-rakannya dan sering dimarahi bos tempat kerjanya kerana kualiti kerjanya manakala Sarah pula adalah seorang graduan dari Universiti Al-Azhar, berasal dari keluarga yang berada dan juga seorang wanita yang bercita-cita tinggi. Ali mula jatuh hati pada Sarah selepas terpandang wajah ayu Sarah yang sedang berjalan keluar dari tempat kerjanya. Hubungan mereka kemudiannya makin erat selepas cubaan Ali menyelamatkan beg tangan Sarah yang telah diragut walaupun pada akhirnya Sarah sendiri yang berjaya menewaskan peragut tersebut.
Pelbagai adegen lucu dan mencuit hati penonton apabila Ali mengaku pada Sarah dan keluarganya bahawa dia juga merupakan bekas graduan universiti Azhar kerana tidak mahu kalah kepada seorang ustaz yang ingin dijodohkan dengan Sarah. Pelbagai kejadian berlaku akibat pembohongan Ali. Namun bagi mententeramkan perasaan serba salahnya itu, Ali bertekad mahu mencuri dokumen penting yang disimpan bosnya bagi menyelamatkan maruah keluarga Sarah. Namun, Sarah tetap kecewa dengan penipuan Ali. Harapan terakhir Ali adalah untuk menghasilkan karipap yang tersedap di dunia khas buat Sarah yang sememangnya pakar dalam membuat karipap. Namun adakah cinta mereka dapat bertaut kembali?
"Sememangnya banyak kisah cinta yang dibawa oleh pengiat filem di Malaysia sama ada hasil tempatan atau luar negara tetapi kisah cinta mana yang paling diingati penonton? Sudah pastinya yang unik dan menarik. Ini adalah kelebihan yang dimiliki filem ini selain sajian komedi yang menjanjikan kepuasan kepada penonton. Tambahan lagi, filem ini merupakan hasil adaptasi sebuah novel cinta yang laris di pasaran sehingga mencatat tiga kali ulang cetak. Mungkin ramai yang beranggapan cerita cinta pasti membosankan kerana kurang aksi namun ini berbeza dengan 'Karipap-Karipap Cinta' yang tampil dengan kelainan yang pasti membuatkan penonton terhibur dengan jalan ceritanya." jelas Othman Hafsham.
Filem arahan Othman Hafsham ini menampilkan pelakon Gambit Saifullah, Melia Aimellia, Eman Manan,Shawal Ruslan, Shamira Azmil, Elyas Iskandar, P.Jagen dan penampilan istimewa Chef Wan.
Filem Karipap-Karipap Cinta yang sedia menemui penonton pada Hari Raya Pertama ini pasti memeriahkan lagi suasana hari raya dengan membawa gelak tawa melalui kisah yang santai dan sesuai ditonton oleh seisi keluarga.