Artikel

Karya Pengurusan Terunggul Sepanjang Zaman: The 7 Habits of Highly Effective People

oleh Muhamad Syarafuddin bin Sulaiman pada 25 Nov 2015

The 7 Habits of Highly Effective People adalah buku legenda. Sejak diterbitkan pada tahun 1990, sudah lebih 20 000 000 unit terjual di seluruh dunia. Ketika mula-mula berada di pasaran, buku ini menjadi fenomena serta bualan pada peringkat antarabangsa.

Kenapa?

Penulisnya sendiri, Stephen R. Covey, adalah pakar dalam bidang kepimpinan. Beliau dipandang tinggi dan pernah terpilih sebagai salah seorang daripada TIME Magazine’s 25 Most Influential Americans. Melihat kepada saiz dan kedudukan Amerika di peta dunia, pemilihan ini membuktikan betapa signifikannya pengaruh beliau.

Kemudian bukunya memang menawarkan satu penulisan yang komprehensif. Perlu diingatkan: Buku ini bukanlah himpunan tips-tips pendek yang dapat diamalkan terus. Ada konsep-konsepnya yang mendalam dan pembaca perlu membaca helaian demi helaian demi mendapat hasil yang memuaskan.

Ini bukan buku yang boleh dibaca seimbas lalu sahaja.Tetapi apa yang kelihatan seperti ‘kelemahan’ buku ini, sebetulnya adalah kelebihannya. Buku ini seumpama suatu manual. Panduan yang terperinci dan jelas. Covey memulakan dengan mengingatkan betapa sebelum mana-mana daripada 7 Habits ini dapat dikuasai, kita mula-mula sekali memerlukan ‘perubahan paradigma’.

Paradigma adalah cara bagaimana kita melihat sesuatu. Covey menegaskan dalam The 7 Habits of Highly Effective People bahawa bagi mengubah pelbagai aspek dalam hidup, mula-mula sekali kita perlu fokus pada sikap dan perangai sendiri terlebih dahulu.

Covey mengetengahkan betapa kejayaan peribadi akan membawa kepada kejayaan secara umum. Contohnya kata beliau, kita perlu belajar membuat dan menepati janji kepada diri sendiri dahulu, sebelum membuat dan menepati janji kepada orang lain.

Daripada 7 Habits yang dibincangkan, Habit 1, 2, dan 3 adalah berkenaan kawalan diri. ‘Habits’ ini akan menggerakkan manusia daripada sikap bergantung kepada kemampuan untuk berdikari.

Habit 4, 5, dan 6 pula bercakap soal bekerja dalam kumpulan, bekerjasama, dan komunikasi. ‘Habits’ yang ini akan mengubah manusia daripada sikap bergantung, kepada kemampuan berdikari, kemudian kepada kebolehan untuk saling manfaat memanfaatkan.

Akhirnya, ada Habit 7 yang mengandungi intipati semua Habits sebelum ini. Dengan Habit 7, kita mampu menjadi lebih baik daripada sekarang, pada setiap masa.

Sudah 25 tahun buku ini memperbaiki hidup jutaan manusia. Adakah kita bersedia untuk bersama mereka?

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024