Artikel

Keajaiban Doa Lelaki Ini Menyebabkan Beliau Mudah Memperolehi Visa Haji

oleh Huzaifah Abd Jamil pada 05 Sep 2016

Air mata tertumpah jua saat melihat rombongan jemaah haji berangkat meninggalkan bumi Malaysia demi memenuhi jemputan Ilahi ke Baitullah al-Haram sekaligus menyempurnakan tiang agama Islam yang kelima.

Sungguh sangat bertuah bagi mereka yang pernah menjejakkan kaki ke Makkah, dan sentiasa menjadi dambaan bagi mereka yang belum diberi peluang untuk ke sana.

Makkah sentiasa melalui proses pembaharuan seiring perkembangan semasa, sesuai dengan kedudukannya sebagai tempat ibadah tumpuan manusia seperti yang termaktub di dalam Al-Quran pada surah Ali Imran ayat 96 ini.

“Sesungguhnya rumah yang mula-mula dibangun untuk (tempat beribadah) manusia adalah Baitullah di Bakkah (Makkah) yang diberkati dan menjadi petunjuk kepada semua manusia.”

Haji

Bercerita tentang soal menunaikan haji, ada satu kisah yang benar-benar mencuit hati saya. Tidak sangka, sejarah tentang pemilik asal Makkah kembali menerjah minda.

Diceritakan bahawa, pada pertengahan tahun 1980, Zaidi bersama tiga orang sahabat bercadang mahu menunaikan haji. Sayangnya, permohonan visa mereka di pejabat kedutaan Arab Saudi tidak berjaya.

Oleh kerana harapan dan kemahuan yang tinggi untuk menyempurnakan rukun Islam kelima itu, mereka spontan berdiri menghadap kiblat di satu sudut untuk menunaikan solat dua rakaat. Selesai solat, mereka ditanya oleh seorang pegawai mengenai perbuatan itu.

“Kami memohon petunjuk daripada Allah tentang Makkah, sama ada ia Allah yang punya ataupun Arab Saudi yang punya?”

Maha suci Allah, dengan izinNya visa haji dikeluarkan bagi mereka berempat!

Pengajaran di sini cukup besar. Mahu menjadi salah seorang tetamu Allah perlu meminta dengan sepenuh hati kepadaNya, bukan sekadar mahu melengkapkan rukun Islam semata-mata.

Haji itu sendiri membawa maksud ziarah ke rumah Allah pada bulan haji bagi menunaikan ibadah semata-mata kerananya dengan syarat dan rukun tertentu. Oleh itu, persediaan luaran sahaja tidak cukup.

Apa yang penting adalah kesungguhan kita untuk menunaikan ibadah besar ini.

Kisah ini dipetik dari buku Cerita-Cerita Motivasi Untuk Ibadah Haji & Umrah terbitan PTS yang boleh kita dapatkan di Jualan Gudang PTS, bertempat di Batu Caves sehingga 9 September ini.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024