Artikel

Kedai Buku Bergerak: Jualan Meningkat, Buku Sampai Ke Sasaran Pelanggan

oleh Roziyah pada 23 Aug 2010

Kedai buku bergerak kini menjadi insiatif berguna kepada penjual-penjual buku bagi menjana jualan yang tinggi.

Menurut Tuan Zaid bin Yazid, kedai buku bergerak ini mampu memberi pulangan yang tinggi kepada penjual buku kerana kosnya lebih murah berbanding dengan pekedai biasa.

Kebiasaannya pembeli akan membeli buku di kedai-kedai buku yang berhampiran namun dengan adanya kedai buku bergerak ini, pelanggan lebih mudah membeli buku kerana penjual datang sendiri membawa buku-buku terpilih kepada sasaran pelanggan.

“Jualan begini lebih mudah kerana kita membawa terus buku yang betul kepada sasaran kita. Contohnya saya membeli buku-buku agama dan menjual di kuliah-kuliah agama,” jelas Tuan Zaid.

Beliau berkata, jualan sebegini sesuai bagi pelanggan yang tiada masa atau tidak berkesempatan ke kedai-kedai buku bagi membeli buku yang dikehendaki.

Selain itu, kos bagi jualan bergerak ini juga tidak tinggi kerana penjualnya tidak perlu menyewa atau membeli tapak kedai.

“Kita hanya ke sasaran pelanggan kita. Contohnya bagi buku-buku agama kita boleh ke surau, masjid atau majlis-majlis agama bagi menjual semua buku-buku yang ada,” jelas beliau lagi.

Beliau yang membeli buku-buku di PTS secara tunai mampu menghabiskan jualannya hanya dalam tempoh beberapa minggu sahaja.

Tuan Zaid berkata, dalam sebulan hampir 2 atau 3 kali beliau datang kembali ke PTS bagi membeli buku-buku keluaran PTS kerana stok bukunya habis dengan pantas.

Bagi Tuan Zaid, jualan bergerak seperti ini jelas memberi keuntungan dan kesenangan kepada kedua-dua pihak, baik pembeli mahupun penjual.

Bagi maklumat, kedai buku bergerak merupakan jualan terus buku kepada pelanggan. Penjual buku membawa buku-buku terpilih ke sasaran pelanggan mereka dan menjual buku terus kepada pelanggan. Pelanggan juga mampu memilih buku yang dikehendaki tanpa perlu singgah ke kedai buku.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024