Artikel

Kekacauan di Mesir: Wakil PTS Dijangka Pulang

oleh Roziyah pada 02 Feb 2011

Dua wakil PTS yang masih terkandas di Cairo dijangka pulang ke Malaysia petang ini.

Tuan Rohidzir Rais dan Tuan Imran Azmi dari PTS Islamika ketika ini masih terkandas di Cairo, Mesir. Mereka berlepas ke Cairo bagi menghadiri Pesta Buku Antarabangsa yang kedua terbesar di dunia.

Ketika ini, dua wakil PTS itu selamat dan berlindung di rumah Rumah Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) buat sementara waktu.

Terkini, tiga buah pesawat C-130 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dijangka dihantar ke Mesir bagi membawa pulang rakyat Malaysia yang berada di negara itu.

Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab yang dipetik media berkata tiga pesawat itu akan berlepas dari Kuala Lumpur pada jam 12 tengah hari ini.

Pesawat itu juga turut membawa bekalan makanan seperti beras, sardin, minyak masak, rempah kari, tepung dan lain-lain kepada rakyat Malaysia yang tinggal di sana.

Beliau juga menjelaskan kerajaan kini berusaha mendapatkan Visa sementara khas daripada kerajaan Arab Saudi bagi membolehkan pelajar yang berada di Mesir dipindahkan ke Jeddah sebelum dibawa pulang.

Media melaporkan terdapat kira-kira 11, 000 rakyat Malaysia yang berada di negara itu dan 7,000 daripadanya adalah pelajar Malaysia.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (198801006125) © 2000 - 2025