Artikel

Kenali Kehebatan Para Ilmuwan Islam: 8 Kecerdasan Membentuk Muslim Superior

oleh Amiratul Awatif Ghazali pada 11 Nov 2013

Adakah kita kenal dengan Ibnu Sina, Al-Biruni, Al-Razi, dan Al-Kindi, Ibnu Haitham, Al-Jazari, dan Al-Farabi? Mereka ini adalah para ilmuwan Islam yang sangat hebat.

Buku ini cuba menelusuri sejarah kehebatan ilmuwan Islam pada zaman dahulu. Ia diceritakan menggunakan teknik yang segar, mudah difahami, dan nyata berbeza dengan buku sejarah lain.

Ia sesuai dimiliki oleh setiap Muslim bagi menjadi superior dan menggandakan tahap kecemerlangan dalam kehidupan seharian mereka.

Penulis membongkar bagi menjadi Muslim superior dengan menggunakan teori kecerdasan majmuk (multiple intelligence).

Ia terdiri terdiri daripada kecerdasan interpersonal, intrapersonal, naturalistik, muzikal, logical-matematik, kinestetik badan, spatial (ruang), dan linguistik.

Setiap teori diterangkan secara terperinci dan teliti. Banyak contoh-contoh baru ditampilkan oleh penulis. Dalam buku ini juga turut diselitkan latihan-latihan bagi mengasah diri menjadi Muslim superior.

Faktor utama yang menjadi asas terbentuknya manusia superior adalah Islam. Ia ibarat jantung kepada manusia superior.

Panglima Mutsanna bin Harithsah pernah ditanya, “Apakah penyebab kemenangan orang Arab ke atas orang-orang Parsi (Iran) pada ketika itu?”

Lalu Mutsanna menjawab, “Islam membangkitkan kekuatan bangsa Arab. Aku pernah berperang menentang tentera Parsi sebelum masuk Islam dan selepas masuk Islam. Aku dapat merasakan sebelum Islam, 100 tentera Parsi sebanding dengan 1000 tentera Arab. Namun, selepas memeluk Islam, satu tentera Arab dapat mengalahkan lebih 1000 tentera Parsi.”

­Buku ini turut membantu kita untuk terus mencintai sejarah dan membetulkan persepsi kita pada sejarah tokoh-tokoh Islam yang sebenarnya digelapkan oleh Eropah.

Ibnu Sina sebagai contoh, ketika berumur 18 tahun, beliau berjaya membaca dan memahami semua kitab yang terdapat di perpustakaan Istana di Bukhara.

Beliau seorang ahli perubatan agung yang tiada tolak bandingnya pada zaman itu.

Selain ilmu perubatan, beliau juga menguasai ilmu-ilmu lain seperti ilmu kimia, muzik, astronomi, sastera, matematik, politik, geologi, falsafah, dan paleontologi.

Pada zaman ini, tiada lagi ilmuwan yang berjaya menguasai ilmu-ilmu ini dengan baik.

Jadi, buku ini dapat membakar semangat kita sebagai Muslim untuk terus berusaha menjadi manusia superior yang hebat di sisi Islam.

 

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024