Artikel

Kesan IQ ke atas Estim

oleh Roziyah pada 03 Jan 2011

Artikel daripada buku Kejayaan Dari Dalam oleh Puan Ainon Mohd.

Kesan IQ ke atas Estim

Sesetengah individu pernah menjadi pelajar cemerlang semasa di sekolah tetapi selepas bekerja mereka tidak pula menampakkan kecemerlangan dalam menjalankan tugasnya. Keputusan peperiksaan yang cemerlang menunjukkan mereka mempunyai IQ yang tinggi tetapi walaupun mereka begitu berjaya di dalam bilik darjah dan dewan peperiksaan, tetapi di tempat kerja keadaannya amat berbeza.

Kepintaran adalah jenis keupayaan yang paling luas. Di sekolah, kanak-kanak yang pintar selalu diberi bermacam-macam hadiah dan dalam peperiksaan mereka diberi markah tinggi.

Disebabkan masyarakat sangat menghargai IQ, adalah diandaikan IQ menjadi sumber estim yang penting, tetapi ini tidak benar. Perkaitan antara IQ dan estim adalah antara sifar hingga 50 dan biasanya ia adalah dalam ukuran tiga puluhan sahaja.

Individu-individu yang memiliki IQ tinggi belum tentu mempunyai estim yang tinggi juga. Begitu juga halnya dengan IQ yang normal ataupun rendah di mana individu yang normal IQnya mungkin memiliki estim yang tinggi. Di kalangan pelajar sekolah menengah, tidak ada perkaitan antara IQ dan bakat kepimpinan, sehinggalah pada peringkat sekolah menengah atas.

Disebabkan para pemimpin adalah individu yang memiliki estim tinggi, ini bermakna di kalangan remaja muda IQ bukanlah sumber estim yang penting. IQ menjadi sumber estim yang penting hanya setelah remaja meningkat usianya, itu pun di kalangan remaja lelaki sahaja. Semakin seseorang itu bertambah dewasa, IQ semakin menjadi sumber estim yang penting.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (198801006125) © 2000 - 2025