Artikel

Ketahui Manisnya Seruan lllahi: Travelog Haji Mengusik Hati

oleh Hairul Faizal Adli Ab Ghani pada 21 Oct 2013

Bukan semua orang ada peluang dan mampu menunaikan haji di Makkah. Kadang-kadang, orang yang mampu pula tiada kemahuan untuk menunaikan haji.

Ada yang sudah puas mengelilingi dunia, tetapi belum tergerak hati untuk tawaf mengeliling Kaabah.

Ada yang sanggup terbang merentasi dunia demi berjumpa kekasih hati di perantauan, tetapi belum terdetik untuk bertemu cinta agung di tanah suci.

Sungguh, seruan haji adalah jemputan daripada syurga. Hanya orang tertentu dan terpilih sahaja yang mendapat keistimewaan ini.

Catatan perjalanan haji yang indah dan penuh emosi ini dirakamkan secara eksklusif dalam Travelog Haji; Mengusik Hati.

Buku ini adalah kompilasi 3 buah buku yang terbaik, hasil tulisan Prof. Dr. Haji Muhd Kamil Ibrahim iaitu Travelog Haji, Travelog Dakwah, dan 50 Tip Motivasi Haji.

Sebagai orang yang biasa-biasa sahaja, bukan agamawan mahupun ulama, beliau menulis daripada perspektif yang berbeza, namun sudut pandangnya tetap indah dan mampu membuai emosi pembaca.

Sebagai seorang profesor dan juga golongan profesional, beliau juga berkongsi kaedah yang sistematik dan praktikal untuk memudahkan pelaksanaan ibadah haji.

Fokus kepada ibadah haji dapat terganggu disebabkan oleh masalah-masalah kecil seperti masalah tandas, kesesakan melampau, dan suhu kepanasan yang tinggi.

Ia kelihatan remeh, namun cabaran sebegini sangat mempengaruhi kualiti dan masa untuk beribadah secara optimum.

Tip yang pada asalnya mahu menyelesaikan masalah beratur panjang semasa menggunakan tandas kelihatan tersangat kecil berbanding perkara-perkara rukun dan wajib haji, namun jika dilaksanakan secara bersungguh-sungguh, ia membawa perubahan yang besar dan memudahkan pelbagai urusan di tanah suci.

Kembara untuk menuju ke syurga tidak berakhir di Makkah dan Madinah. Haji bukan semata-mata beribadah di tanah suci dan kemudian kembali hanyut dengan godaan dunia di tempat asal kita.

Dengan panduan hidayah dan bimbingan Tuhan, penulis memanifestasikan pengajaran daripada perjalanan haji dalam kehidupan sehariannya selepas kembali ke tanah air.

Bagi mereka yang bakal atau pernah menjejakkan kaki ke tanah suci, buku ini mempunyai nilai estetika yang tersendiri. Ceritanya ringkas tetapi signifikan. Ceritanya indah, membuai emosi, dan pastinya mengusik hati.

 

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024