Artikel

Kisah Luar Biasa Bola Sepak Malaysia: Super Safee (SS10) Kuasa Luar Biasa

oleh Khairul Aswad Khairul Anuar pada 02 Nov 2015

Bola sepak sudah tidak asing lagi dalam kalangan rakyat Malaysia. Baik di peringkat wakil kampung, mahupun di peringkat antarabangsa. Hampir semua rakyat Malaysia, terutamanya lelaki minat bermain bola sepak. Paling tidak pun, mereka akan gemar menonton perlawanan-perlawanan pasukan kegemaran mereka di kaca televisyen. Kata orang, sukan menghidupkan perpaduan. Mungkin ada benar kata-kata tersebut. Namun, apabila sukan bola sepak berjaya dijadikan kisah komik, ia adalah satu fenomena lain.

Penulis manga Ben Wong yang baru-baru ini telah memenangi International Manga Award kini tampil dengan sambungan kepada komik  Super Safee yang terdahulu, iaitu SS10 : Kuasa Luar Biasa. Di awal komik, Safee dan Norli tertanya-tanya mengapa Julia secara tiba-tiba mengajak mereka berdua untuk keluar bersama. Dalam perjalanan menuju ke tempat yang dijanjikan, mereka telah menyaksikan satu adegan ragut di seberang jalan. Tanpa membuang banyak masa, Safee terus melajukan kayuhan basikalnya untuk menangkap peragut tersebut dan mereka dikejutkan dengan sebuah kejutan yang tidak disangka.

Julia yang masih setia menanti pula berasa hairan kerana Safee dan Norli agak lambat tiba. Namun tidak lama selepas itu, mereka pun tiba dan mereka terus bergerak untuk makan tengahari bersama.  Mereka berdua masih tertanya-tanya sebab Julia mengajak mereka untuk keluar. Apabila Julia memberitahu cerita sebenar, mereka berasa bertambah terkejut.

Di padang bola, lain pula kisahnya. Hasnul, Kevin dan Suraj yang sedang berlatih bermain bola dalam diam rupanya diperhatikan oleh Stanley yang sentiasa mempunyai niat jahat untuk menghapuskan musuhnya. Dan tidak disangka dalam kalangan mereka ada yang disyaki menjadi mata-mata untuk Stanley. Tetapi, siapakah dia? Stanley pula telah mengambil langkah untuk membuat satu pasukan khas bagi mempersiapkan diri untuk pertandingan bola sepak yang bakal diadakan kelak.

Pada waktu yang sama, Safee dan rakan-rakannya berlatih bola sepak di satu tempat misteri dan mereka diselia oleh Sifu. Mereka dilatih bagi mengasah bakat serta potensi yang mereka ada. Tidak lama selepas itu, datang seseorang yang ingin turut menjadi ahli pasukan Safee dalam pertandingan bola sepak akan datang. Siapakah dia?

Secara keseluruhan, komik ini memang menarik. Walaupun ini adalah sambungan daripada siri Super Safee yang lepas, namun pembaca yang mungkin pertama kali membaca komik ini tidak akan terlalu sesat dalam pembacaan. Tapi, pembaca mungkin mahu membaca daripada awal siri bagi mengelakkan kekeliruan dalam memahami jalan cerita. Mutu lukisan Ben Wong tidak perlu dipertikaikan lagi. Jika tidak, bagaimana beliau boleh berjaya mendapat Silver Award dalam anugerah di peringkat antarabangsa yang lepas bukan?

Kepada anda yang masih belum mendapatkan siri terbaru ini, segeralah ke kedai buku. Sokonglah industri sukan tanah air. Dalam konteks ini, marilah kita menyokong komik sukan negara.

 

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024