Artikel

Kisah Seorang Puteri: Bukan Puteri Sempurna

oleh Izzati Nadia ZI pada 24 Mar 2016

Kisah dongeng ini berkisarkan tentang kehilangan seorang puteri yang berasal dari negara Cindai Emas, iaitu Yang Amat Mulia Tuanku Raja Puteri An-Nuraa Aisyah binti Almarhum Raja Abdul Jalil atau dikenali sebagai Icah.

Icah dipercayai dilarikan oleh ibu susuannya, Dayang Naemah beserta suaminya yang juga seorang pembesar di Cindai Emas, Tuan Wan. Mereka membawa Icah pergi ke Malaysia ketika umurnya dua tahun.

Kini, misi pencarian Icah dilakukan secara besar-besaran oleh warga istana di Cindai Emas.

Walaupun Nur Ayuni hanya berusia 13 tahun, namun imaginasi beliau mengagumkan pembaca. Saya pasti para pembaca turut berdebar dengan pengakhiran cerita novel ini.

Apakah kaitan Megat Farid dalam keluarga Diraja Icah dan siapakah Megat Farid sebenarnya. Penulis cilik ini mampu membuatkan para pembaca untuk terus menghabiskan bacaan mereka sehingga ke penghujung buku.

Selain itu, penggunaan bahasa yang digunakan mudah difahami dan bersesuaian dengan pembaca muda. Ayat yang digunakan juga boleh dijadikan sebagai panduan kepada para pembaca.

Ini bagi mengasah pemahaman dan penguasaan bahasa Melayu mereka di sekolah.

Tambahan pula, moral yang terkandung dalam buku ini adalah hasil daripada pandangan seorang remaja yang masih berada di bangku sekolah mengenai apa yang terjadi di sekelilingnya. Terutamanya dalam penggunaan alatan teknologi di sekolah dan di rumah.

Ia mempunyai impak yang baik dan buruk kepada para pelajar. Penulis juga menekankan tentang penggunaan alatan canggih yang seringkali mengganggu tumpuan para pelajar.

Secara kesimpulannya, buku ini berbaloi untuk dimiliki oleh setiap pembaca yang menggemari karya-karya penulis Tunas Super.

Ini kerana, cara penyampaiannya yang menarik dan santai. Saya pasti para pembaca akan berpuas hati dengan buku ini.

Selamat membaca!  


Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024