Artikel

Korea dan Malaysia: Miss Kimchi Lawan Raja Sambal

oleh Chayu Afifi Nordin pada 23 Feb 2016

Siri novel LAWAN kali ini membawakan Miss Kimchi Lawan Raja Sambal buat pembaca setia BLINK. Kekecohan apa yang berlaku kali ini? Ada saja kisah yang bakal mencuit hati pembaca setia BLINK.

Miss Kimchi adalah watak seorang gadis perempuan bernama Scha Aluya yang sangat gemarkan Kimchi. Ini disebabkan oleh pengaruh  drama Korea yang menyajikan makanan tradisi Korea yang pedas dan masam itu hingga mampu membangkitkan deria rasa. Hatinya remuk redam  apabila kakak iparnya terbuang kimchi kegemarannya. Bermula dari situ, dia mula belajar memasak kimchi sendiri.

Nazmi Uthman merupakan seorang pemuda kacak dan ramah,  Mak Cik Sharepah menyangka Nazmi Uthman  seorang doktor apabila melihat penampilannya yang begitu bergaya. Tapi sangkaan Mak Cik Sharepah meleset kerana jejaka muda ini berkelulusan Diploma Seni Kulinari dari universiti tempatan.

Semasa cuti semester, Nazmi membuat pilihan untuk menimba ilmu dalam bidang masakan bersama Mak Cik Sharepah di kantin Sekolah Sri Bangsar. Ini kerana masakan sambal Mak Cik Sharepah sangat enak menjadikan Nazmi bertekad untuk belajar membuat sambal daripada Mak Cik Sharepah.

Awalnya, Scha Aluya dan Nazmi Uthman suka sama suka hingga menyamakan diri mereka dengan Taeyon, Girls Generation dan Baekhyun, EXO! Malah, citarasa muzik k-pop mereka juga seia sekata. Namun, rupa-rupanya mereka ternyata berbeza. Selera makan mereka terang-terangan tidak sama. Mereka berdua dilaga-lagakan hingga memporak-perandakan kantin kesayangan Mak Cik Sharepah.

Malah mencetuskan perang besar hingga mengadakan pertandingan memasak kimchi lawan sambal. Mana satu hidangan yang akan disukai warga Sri Bangsar?

Anda mungkin akan mengatakan buku ini tidak memberi contoh teladan yang baik kepada remaja. Namun begitu, jangan menghukum buku ini sebelum anda selesai membacanya.

Di penghujungnya anda akan tahu bagaimana perbezaan cita rasa makanan mampu mempengaruhi persahabatan. Elemen setia kawan juga diterapkan dalam buku Miss Kimchi Lawan Raja Sambal ini.

Adakah mereka berdua dapat kembali berdamai? Ketahui kisahnya dalam Miss Kimchi lawan Raja Sambal. Pastikan perut anda sudah kenyang semasa membaca novel  ini ya!

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024