Artikel

Kuasa Spek Mata Yang Merubah Hidup Seorang Gadis Bernama Syaza

oleh Izzati Nadia Zi pada 27 May 2016

Fasa remaja adalah fasa seseorang itu akan mengalami pelbagai perubahan emosi, mental, dan fizikal. Semasa ini akan wujud banyak konflik di antara orang sekeliling dan juga dengan diri sendiri.

Sesiapa yang pernah melalui fasa ini pasti sudah tahu apakah konflik yang sering berlaku. Terutamanya mengenai bab keluarga dan juga rakan sebaya.

Masalah keluarga sering dikaitkan dengan isu remaja. Ini kerana, jiwa mereka memberontak dan sedang mencari identiti mereka sendiri.

Pernahkah pembaca terfikir apa yang dirasai oleh seorang remaja yang kehilangan ayah selama tiga tahun, dan kini dia kembali mempunyai keluarga yang baru? Pasti susah untuk mengadaptasikan diri, bukan?

Siri terbaru Aku Mahu Banyak Like karya Ain Maisarah dan Nur Khairiah menceritakan tentang bagaimana seorang pelajar sekolah Sri Bangsar yang bernama Syaza mengharungi kehidupan sebagai seorang anak yatim. Selama tiga tahun Syaza hidup bersama ibunya yang juga seorang pengasas spa kecantikan. Namun, tiba-tiba dia dikejutkan dengan berita yang dia bakal menerima ayah tiri dan dua adik-beradik tiri.

Buku ini membangkitkan pelbagai konflik yang dialami oleh remaja masa kini. Isu kekeluargaan, rakan sebaya, dan permasalahan dengan diri sendiri. Antara isu kekeluargaan yang diperkatakan adalah bagaimana Syaza menjalani kehidupan yang memerlukan dia berubah 100 peratus.

Dia perlu bertudung ketika berada di rumah, membuat kerja-kerja rumah yang selepas sekian lama ditinggalkan, mengemas pakaian kotor abang tirinya, dan mengelakkan diri daripada bertembung dengan serangga peliharaan adik tirinya.

Malah, apa yang lebih sukar diterima oleh Syaza apabila dia merasakan kasih sayang ibunya mula beralih arah. Insiden dia ditegur oleh ibunya bagi mengetuk pintu terlebih dahulu sebelum memasuki kamar tidur utama membuatkan Syaza merasakan jurang di antara mereka.

Selain itu, Syaza juga bergelut dengan konflik dirinya sendiri apabila dia tidak mendapat like yang banyak setiap kali dia memuat naik status terbarunya di laman Facebook.

Dia berharap agar dia turut menerima jumlah like yang banyak seperti mana The Wannababes mendapat sambutan hangat daripada netizen.

Isu seperti ini adalah isu normal yang sering berlaku kepada remaja masa kini. Jumlah like banyak memberi efek dalam hidup dan tahap keyakinan mereka. Syaza merasakan dirinya setaraf dengan The Wannababes kerana dia pernah ditemu ramah di kaca televisyen dan ibunya seorang pemilik spa kecantikan.

Namun begitu, dirinya kurang mendapat sambutan dalam kalangan sahabat alam maya.

Segalanya berubah apabila Syaza memakai cermin mata ala-ala Harry Potter pemberian arwah ayahnya yang banyak merubah kehidupan Syaza.

Dia tiba-tiba disukai oleh ramai lelaki. Dia boleh mengawal semua lelaki termasuk Fahrin, atlet idaman gadis-gadis di sekolah Sri Bangsar. Bak kata Syaza, cermin mata itu adalah good lucky charm baginya.

Cermin mata itu membuatkan kehidupan Syaza menjadi aneka ragam. Ada yang baik dan ada juga yang buruk. Cermin mata itu punca persahabatan Syaza, Mawar, dan Serina terjejas. Cermin mata itu jugalah punca Syaza dan abang tirinya dianiayai oleh The Wannababes.

Anda mahu tahu kisah selanjutnya? Dapatkan buku terbaru daripada Blink Book ini di kedai-kedai buku berhampiran anda. Saya pasti, buku ini dapat memberi banyak pengajaran kepada remaja di luar sana.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024