Artikel

Kumpulan Cerpen Di Ufuk Fajar Paparkan hakikat Kehidupan Manusia

oleh Roziyah pada 04 Jan 2011

Kumpulan Cerpen Di Ufuk Fajar Paparkan hakikat Kehidupan Manusia

Jika sebelum ini PTS Litera Utama menerbitkan novel-novel islami dan sejarah, kini PTS Litera utama melangkah lebih berani dengan menghasilkan kumpulan cerpen bagi memberi kelainan kepada pembaca khususnya peminat buku-buku terbitan PTS Litera Utama.

Terbaru, PTS Litera menampilkan Kumpulan Cerpen Di Ufuk Fajar hasil tulisan Puan Aminah Mokhtar. Koleksi cerpen yang membawa tema kemanusiaan dan sosio kehidupan manusia ini membuka mata pembaca perihal hakikat sebenar kehidupan manusia.

Lebih menarik, penulisnya, Puan Aminah Mokhtar merupakan seorang jururawat. Sebahagian daripada cerpen yang dihasilkan merupakan adaptasi daripada pengalaman penulis sendiri.

Menurut Editor Perolehan PTS Litera Utama, cikpuan Faiizah lood, kumpulan cerpen Di Ufuk Fajar ini memberi kelainan apabila menghidangkan cerpen bersiri yang menarik dan mampu meruntun jiwa pembaca.

“Tidak semua pembaca yang gemar membaca novel yang tebal berterusan. Kumpulan cerpen ini menjadi pilihan kepada pembaca yang ingin mencari kelainan,” jelas cikpuan Faiizah lanjut ketika ditanya tujuan kumpulan cerpen ini dihasilkan.

Bagi penulis yang ingin menghasilkan karya bersama PTS boleh menghantar karya mereka asalkan penulis berkenaan mempunyai 20 koleksi cerpen. Selain itu, tema semua cerpen yang ingin dikompilasikan haruslah menepati syariah complaint yang ditetapkan oleh PTS.

“Kita akan menilai karya cerpen terbaik untuk dibukukan. Penulis juga perlu sabar menanti karya mereka diterbitkan oleh pihak PTS Litera, ” jelas beliau lanjut.

Kumpulan cerpen Di Ufuk Fajar hasil tulisan Aminah Mokhtar ini boleh diperolehi di kedai-kedai buku berhampiran tuan puan. Tuan dan puan juga boleh membuat tempahan buku ini secara terus melalui http://www.bookcafe.com.my/

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024