Artikel

LAPORKAN SALAH GUNA BB1M

oleh Helmi pada 13 Mar 2014

Kuala Lumpur – Penyalahgunaan Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) boleh dikenakan tindakan undang-undang mengikut Seksyen 403, Kanun Keseksaan atas kesalahan menyalahgunakan harta dengan curang. 

Dalam sidang media Salah Guna BB1M di The Regency Hotel, Pengerusi Dewan Industri Buku Malaysia (MBIC), En. Ishak Hamzah melaporkan, penyalahgunaan Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) semakin serius apabila pempamer yang menyertai pelbagai pameran secara terang-terangan memaparkan penerimaan baucar itu bagi barangan bukan akademik. 

Berikutan masalah tersebut, timbul pelbagai tanggapan daripada masyarakat bahawa baucar berkenaan boleh ditukar dengan barangan lain. 

“Ini mengulangi episod salah guna Baucar Buku 1 Malaysia (BB1M) pada 2013 apabila pelbagai pameran buku, komputer dan sebagainya telah mengizinkan pelajar menukar baucar dengan pelbagai barangan bukan buku termasuk pakaian, tudung, makanan, cermin mata dan peralatan komputer,” kata beliau.

“Lebih malang lagi sebaik sahaja BB1M yang diedarkan kepada pelajar mulai 28 Februari lalu, sudah berlaku penyalahgunaan baucar itu secara terang-terangan di pasaran secara berleluasa.”

En. Ishak menyeru semua kepimpinan IPT mengambil langkah proaktif dan bersikap lebih bertanggungjawab menghalang salah guna BB1M di kawasan premis masing-masing, kerana ia merupakan kesalahan jenayah. Salah guna BB1M yang dikesan boleh dilaporkan terus ke [email protected] 

Dalam kenyataan yang lain, tokoh agama, Dr. Zaharuddin Abdul Rahman menegaskan, perbuatan menjual baucer buku untuk mendapat tunai itu adalah tindakan yang salah, tidak beretika dan memecah amanah dan objektif asal pemberian baucer. Matlamat penciptaan baucer itu adalah untuk ditukar dengan buku, agar pelajar dapat membeli buku keperluan mereka dan meningkatkan ilmu. BUKAN HANYA buku teks wajib di universiti tetapi segala jenis buku yang berfaedah yang lain juga.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024