Artikel

Legenda yang Menghantui Dunia

oleh Khairul Aswad Khairul Anuar pada 07 Jul 2015

Anda masih ingat filem trilogi pontianak kacak kegemaran ramai yang pernah menjadi kegilaan para gadis beberapa tahun lepas? Filem yang diadaptasi daripada novel bestseller itu membawa satu persepsi dan penerimaan baru bagi perwatakan pontianak.

Rentetan itu, beberapa penerbit televisyen lain juga menghasilkan karya yang formulanya hampir sama; pontianak lelaki yang kacak dan heroin yang jatuh cinta kepadanya. Maka, terhasillah beberapa siri drama televisyen yang membawa genre sama seperti The Vampire Diaries, True Blood, dan lain-lain.

Malah, di Malaysia sendiri, beberapa penulis novel juga terpengaruh untuk membawa watak pontianak ke dalam hasil tinta mereka.

Al-Ghazali kini datang dengan buah tangannya yang terbaru bersama PTS, iaitu Dracula. Namun ini bukan kisah drakula kacak yang jatuh cinta dengan perawan manis.

Ini adalah sebuah cerita tentang asal-usul drakula. Persoalan pertama yang bermain sewaktu memegang buku ini adalah, wujudkah drakula?

Memandangkan buku ini ada sebuah novel sejarah Islam, wujud pula persoalan seterusnya. Apa kaitan drakula dengan dunia Islam? Bukankah itu watak-watak ciptaan manusia?

Membelek setiap muka surat novel ini mendatangkan satu sifat kurang sabar dalam diri. Jika membaca sebagai santaian sebelum tidur, pembaca mungkin akan terus bersengkang mata untuk terus membaca. Garapan penulisan yang menarik dan tersusun serta elemen suspen yang sentiasa wujud di setiap bab boleh membuat kita tidak duduk diam.

Ya, seperti ada magis. Siapa sangka novel sejarah boleh menjadi begitu menarik bukan?

Ilustrasi kulit muka depan setiap buku PTS memang tidak dapat dipertikaikan lagi kehebatannya. Kata orang, jangan dinilai sesuatu daripada luaran. Tapi hakikatnya, luaran kulit buku itu menjadi faktor penting untuk bakal pembeli memilih buku tersebut untuk dibelek sinopsis dan isi ceritanya.

Gambaran sesorang yang berdiri megah dengan cawan berisi darah dan tanpa kecederaan di tengah mangsa korban perang di kulit muka depan buku ini memberi klu kepada pembaca mengenai jalan cerita novel ini.

Ini adalah sebuah kisah mengenai drakula dengan kerajaan Islam Uthmaniyyah. Kita sedia maklum kerajaan Islam Uthmaniyyah adalah sebuah kerajaan Islam yang terkuat daripada pelbagai aspek. Bagaimana kisah drakula ini boleh berada di dalam zaman pemerintahan kerajaan ini?

Adakah drakula itu sendiri seorang Islam, yang akhirnya mengkhianati rakan seagamanya? Atau adakah drakula ini memang musuh Islam daripada azali?

Untuk meredakan kegusaran dan keterujaan bakal pembaca, boleh segera mendapatkan naskhah terbaru Tuan Al-Ghazali ini. Ini bukan kisah sejarah yang mengantuk apabila dibaca.

Ini sebuah kisah sejarah Islam yang agung. Sebaik sahaja kita menutup buku di helaian terakhir, pasti kita akan tersenyum sendiri apabila mengenangkan pontianak yang terkenal dalam dunia masyarakat Melayu yang berbaju putih labuh, berambut panjang dan suka bergayut di atas pokok. Bagai langit dengan bumi, bukan?

 

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024