Artikel

Lihat Bagaimana Allah Menutup Aib Manusia

oleh Huzaifah Abd Jamil pada 24 Jun 2016

Bacalah kisah ini dengan hati yang lapang, kemudian dipersilakan menilai sejauh mana kita menjaga adab terhadap diri sendiri, bahkan kepada orang lain juga.

Adapun diceritakan, bahawa seorang lelaki asal dari Madinah bermimpi bertemu Rasulullah SAW. Sabda baginda: “Berilah khabar gembira kepada pemuda ini yang tinggal di Makkah, bahawa dia akan bersamaku, insyaallah.”

Maka dipertemukanlah kedua-dua mereka selepas beberapa ketika. Sesungguhnya pemuda ini buruk lagi jahat akhlaknya. Bagaimana Rasulullah SAW mengatakan pemuda semacam ini akan bersama baginda?

“Mungkin ada sesuatu perbuatan yang baik semasa aku menikah.

“Pada waktu malam pertama, isteriku berkata: “Tutuplah aibku nescaya Allah akan menutup aibmu kerana aku sedang mengandung anak luar nikah.” Maka aku merahsiakan perkara ini dengan penuh kesabaran dan tidak memberitahu siapa pun hingga ia melahirkan bayi itu.

“Selepas kelahiran bayi itu, aku mengambilnya dan aku pergi ke tempat Sa’ie dan meletakannya di atas Bukit Safa. Kemudian terdengar jeritan, ‘Ada bayi kecil di sini!’. Maka ramailah orang berdatangan dan berkumpul kemudian mencari-cari keluarga si bayi ini.

“Dan aku hanya sekadar memerhatikan sampai pembicaraan reda. Kemudian aku pun datang dan berkata, ‘Aku akan membesarkan bayi ini sampai keluarganya menuntutnya’. Lalu aku mengambil bayi itu pulang kepada ibunya dan mengasuhnya sampai sekarang.

“Tidak ada seorang pun yang tahu akan hal ini kecuali engkau sekarang. Tidak ada siapa pun yang mengetahui tentang ini kecuali Allah.”

Ketahuilah hai kita semua, ramai dalam kalangan manusia yang tidak memandang dan memerhatikan kekurangan yang ada dalam diri sendiri. Bahkan, mereka selalu menghitung dan mengira keburukan orang lain.

Saidina Ali r.a. berkata, Nabi Muhammad s.a.w. memberitahu, “Sebesar-besar keburukan apabila kamu melihat keburukan dan kekurangan yang ada pada diri orang lain, sedangkan keburukan dan kekurangan yang kamu cemuh dan cela ada dala diri kamu sendiri.”

Manusia yang seperti ini, bukan sahaja tidak menghormati hak orang lain, dia juga tidak pernah melaksanakan tanggungjawab dengan sempurna dan tidak menepati janji yang diberikan kepada orang lain.

Tetapi, apabila sekali sahaja dia dapat melaksanakan tanggungjawab dengan baik, maka jeritan dan laungan dengan kejayaan itu akan sampai ke langit. Malah, dia mencari, membuka, dan memperkatakan segala keaiban, kekurangan, dan keburukan orang lain.

Imam Syafi’i berpesan, “Sebesar-besar keaiban (keburukan) adalah kami mengira keburukan orang lain, sedangkan keburukan itu terdapat dalam diri kamu sendiri.

Nota Editor: Kisah ini dipetik dari buku 30 Wasiat Imam Syafi’i karya Tuan Khairul Ghazali, terbitan PTS Publishing House Sdn. Bhd.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024