Artikel

Makan Pasir - (Sebuah cerpen untuk kita-kita sebagai rakyat)

oleh Roziyah pada 15 Dec 2011

Dipetik dari http://dingin.blogspot.com/ dan ditulis oleh Tuan Bahruddin Bekri.

Ahmad terkejut betul apabila diberitahu, ada sebuah kampung di sebuah kawasan yang dirahsiakan di Malaysia, penduduknya memakan pasir. Ahmad yang kerjanya pengawal keselamatan di sebuah pasaraya, langsung tidak percaya mendengarkan berita itu. Ya, langsung tidak percaya.

Lama-lama Ahmad menatap wajah si penyampai berita, Kasim yang juga pengurus pasaraya. Kasim juga sesungguh hati mempamerkan wajah yang serius, dan ternyata dia tidak perlu bersusah payah kerana wajahnya memang semula jadi serius.

Kata Ahmad, “Apa? Orang makan pasir? Kalau seorang makan pasir pun aku susah mahu percaya, apatah lagi satu kampung yang makan pasir. Ini betul-betul gila.”

“Betul. Saya sendiri yang pernah sampai ke kampung itu, dan saya lihat sendiri penduduknya makan pasir,” kata Ahmad lagi. Sungguh-sungguh.

“Saya tidak percaya. Mana mungkin, ada orang mampu makan pasir,” kata Ahmad lagi, sambil memukul-mukul belantan di tangan kanannya, ke tapak tangan kiri.

“Percayalah. Saya datang ke kampung itu kerana mahu membuka kedai runcit bagi cawangan pasaraya ini, tetapi bagaimana mungkin kedai dibuka di sana sekiranya penduduknya makan pasir.” Kasim masih terus meyakinkan Ahmad.

“Kalau begitu, Tuan bawa saya ke sana, saya mahu lihat sendiri,” syor Ahmad dengan wajah berkobar-kobar.

Jadi, lusanya berangkatlah Ahmad dan Kasim ke kampung yang penduduknya makan pasir. Tempat pertama yang mereka pergi adalah rumah ketua kampung yang bernama Hasan.

Duduk bersilalah Ahmad dan Kasim di ruang tamu sambil berbual-bual ringan berkenaan cuaca, sukan dan paling luar biasa, berkenaan kapal selam. Entah daripada mana datangnya minat ketua kampung mahu berbual berkenaan kapal selam sehingga Ahmad dan Kasim hanya banyak berkata, “Ya, Tok. Ya, Tok.”

“Malaysia ini sebenarnya perlukan 50 kapal selam, barulah boleh maju,” kata Hasan sambil meluruhkan abu rokok ke luar tingkap.

“Ya, Tok. Ya, Tok,” kata Ahmad dan Hasan hampir serentak.

“Kalau ada 50 kapal selam, barulah kita boleh mengangkut barang dari China dengan banyak ke Malaysia. Automatik ia menjadi barang underwater lalu ia pun murah-murah,” jelas Hasan dengan bersemangat.

“Ya, Tok. Ya, Tok,” kata Hasan walaupun dia sudah semakin pening. Ahmad pula sudah tidak boleh berkata apa-apa. Selain semakin tidak faham dengan tuju perbualan mereka, dia juga sebenarnya sedang berdebar-debar bagi melihat sendiri adakah benar penduduk di situ makan pasir.

Selepas beberapa ketika, akhirnya sampailah hidangan kopi dan sepiring kuih di hadapan mereka. Mata Ahmad terbuka luas-luas bagi melihat kuih di dalam pinggan itu.

“Jemputlah makan pasir goreng, dan pengat pasir,” kata Hasan sambil menyorongkan pinggan kepada Ahmad dan Hasan.

Ahmad membuntangkan matanya, memerhati apa di dalam pinggan dan ia terlihat seperti pasir. Dia memegang pasir goreng, dan rasanya seperti pasir. Perlahan-lahan dia memasukkan ke mulut, mengunyahnya, dan rasanya juga seperti pasir. Pandang seperti pasir, rasa seperti pasir dan sahlah ia pasir.

Ahmad beristighfar beberapa kali dalam hatinya. Sungguh dia tidak menyangka, memang ada orang yang memakan pasir.

“Jangan balik dulu. Tengah hari nanti, makanlah sini. Isteri saya sedang masakkan, pasir masak kicap, pasir goreng berlada, pasir tiga rasa dan satay pasir,” kata Hasan dengan bersungguh-sungguh.

Belum habis terkejutnya Ahmad, kini ditambah lagi dengan kejutan yang lebih besar. Ahmad mengurut-urut dada. Rasa terkejutnya itu mendorong dia berani bertanya.

“Mengapa makan pasir?” tanya Ahmad dengan nada terkejut.

“Apa salahnya makan pasir? Ia cuma soal selera,” jawab Hasan pula yang terkejut melihat Ahmad terkejut.

“Bukan, ia bukan soal selera,” bantah Ahmad pula.

“Ya, ia soal selera. Selera itukan berkait dengan cara hidup, lalu apabila kamu ubah cara hidup, maknanya kamu sudah mengubah selera,” jawab Hasan lagi.

“Ubah cara hidup? Saya tidak faham, apa yang terjadi dan bagaimana pula ia boleh terjadi?” balas Ahmad yang semakin rungsing.

Sambil tersenyum nipis, Hasan pun mula bercerita, “Semuanya bermula 30 tahun dahulu. Waktu itu, kerajaan menaikkan cukai, menaikkan itu ini sehingga kami orang kampung tidak mampu. Datanglah wakil rakyat berkata, ‘ubah cara hidup’. Kami pun ubah cara hidup. Namun harga barang tetap naik, dan kami ubah lagi cara hidup, sehinggalah pada suatu tahap, tidak ada apa-apa lagi yang tersisa untuk kami. Jadi, ketua kampung pada waktu itu, Tan Sri Yakob berkata, ‘Kita perlu yakin dengan kata-kata kerajaan. Kita perlu ubah cara hidup, dan oleh kerana sekarang kita sudah tidak mampu membeli barang makanan, jadi kita ubah cara makan kita. Kita makan pasir. Hanya itulah satu-satunya jalan bagi mengubah cara hidup’. Lalu sejak itu, kami penduduk kampung makan pasir, dan alhamdulillah, sejak makan pasir, kami tidak perlu ubah cara hidup lagi.”

Ahmad masih terkejut. Kasim di sebelahnya yang sudah mendengar kisah itu hanya diam dan tersenyum melihat reaksi Ahmad.

“Tidak mungkin. Mengapa kamu semua langsung tidak ragu-ragu? Mengapa nekad?” soal Ahmad.

“Waktu itu ketua kampung kami, selepas diajar oleh menteri, telah memetik kata-kata Diderot dalam Pensees Philosophiques, ‘Keraguan adalah langkah pertama ke arah kebenaran’, dan kami memang ragu-ragu tetapi kami yakin itulah kebenaran kami,” jawab Hasan yakin.

Ahmad terkejut. Dalam terkejut dia, dia berasa bersemangat mahu mengubah sesuatu. Lalu dengan pantas dia berkata, “Makan pasir sudah melampau. Saya akan perjuangkan nasib kamu semua!”

“Tidak perlu. Kami selesa makan pasir,” jawab Hasan, tersengih melihat semangat Ahmad.

“Ya. Saya akan perjuangkan nasib penduduk di sini!” Ahmad masih bertegas.

“Kalau begitu, boleh saya tahu apa sebenarnya kerja kamu?” soal Hasan pula lalu membetulkan lipat silanya.

“Pengawal keselamatan,” jawab Ahmad, yakin.

Hasan terus ketawa berdekah-dekah sebelum berkata, “Itulah masalah kampung ini dahulu. Yang datang mahu membelanya adalah tukang sapu, pengawal keselamatan, petani, pengali kubur dan seumpamanya. Kamu tahu, orang seperti kamu tidak boleh memerintah kerana kamu semua hanya mampu menipu yang kecil-kecil?”

 

Baca lanjut di http://dingin.blogspot.com/. 

Penulis adalah penulis buku motivasi PTS. Klik di sini bagi mendapatkan maklumat lanjut penulis.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024