Artikel

Memartabatkan Seni Penulisan: Anugerah PNM-RTM 2013

oleh Asmaa Nabilah Abd Rashid pada 11 Oct 2013

Buat julung kalinya, Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) telah bekerjasama menganjurkan Anugerah Buku PNM-RTM.

Anugerah ini telah diadakan  di Auditorium Perdana Angkasapuri pada 3 Oktober 2013 yang lalu.

Antara kategori yang dipertandingkan adalah kategori kanak-kanak, dewasa, terbitan kerajaan dan pilihan penonton.

Malah, kategori ini melibatkan Fiksyen dan Bukan Fiksyen bagi Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

Gabungan lima orang penulis dari PTS One Sdn.Bhd. telah dinobatkan sebagai pemenang bagi kategori pertama Kanak-Kanak Fiksyen Bahasa Melayu.

Mereka terdiri daripada Iman Qaisara, Haryani Karmilan, Natasha Effyzal, Aizam Aiman, dan Husna Adnan. Buku Kami Puteri Hebat bagi siri ketiga Kisah Si Puteri telah menjadi tuah kemenangan pada malam itu.

Kemenangan yang diperoleh pasti merupakan sesuatu yang paling berharga dan patut dikenang sampai bila-bila.

Menurut Iman Qaisara, beliau berasa teruja ketika dinobatkan sebagai pemenang bagi kategori itu dan melahirkan kesyukuran ke hadrat ilahi.

“Saya sama sekali tidak menjangkakan kemenangan ini berpihak kepada kami kerana masih terdapat beberapa buku dari penerbitan lain yang turut tercalon. Walau bagaimanapun, saya mendapat tahu buku Kami Puteri Hebat tercalon setelah buku ini disenarai pendekkan dalam pencalonan. Kemenangan ini juga sangat berharga kepada saya kerana ini merupakan pengalaman pertama saya menulis”, kata beliau sambil tersenyum.

Pencapaian anugerah ini juga dilihat dari sudut kekuatan dan kelebihan buku itu sendiri. Natasha Effyzal merupakan salah seorang penulis yang berpengalaman dalam dunia penulisan buku fiksyen Bahasa Melayu.

“Kekuatan buku ini terletak pada pembawaan temanya iaitu motivasi. Dalam siri ini, saya dan rakan-rakan cuba mengetengahkan idea dan konsep baru dalam pembacaan kanak-kanak iaitu memperkenalkan watak puteri dalam versi baru yang lebih muslimah dan menutup aurat. Malah secara langsung konsep baru ini turut menepati kehendak syariah seperti yang diinginkan oleh syarikat PTS Media Group Sdn.Bhd.”, kata Natasha Effyzal dengan tenang.

Selain itu, bagi penulis yang berpegang dengan prinsip melakukan sesuatu biar bersungguh, Haryani Karmilan mempunyai pendapat sendiri terhadap penganugerahan itu.

Malah, apabila ditanya mengenai perancangan masa hadapan, beliau mempunyai perancangan tersendiri dan idea akan berkembang jika dikongsi bersama rakan-rakan penulis.

“Anugerah yang diperoleh pada majlis itu sangat berharga bagi saya kerana semua buku yang dipertandingkan adalah bukan calang-calang. Malah ini turut merupakan anugerah yang paling besar untuk saya. Pada pandangan saya, majlis seumpama ini wajar diteruskan pada masa hadapan kerana dapat menghargai usaha penulis melalui karya yang dihasilkan”.

Katanya lagi, “Memandangkan buku siri ini telah mencapai kejayaan, perancangan untuk masa depan tetap ada. Saya dan rakan-rakan berharap bahawa buku siri ini tetap diteruskan jika mendapat permintaan dan perhatian daripada pembaca. Walaupun akan mencipta pembaharuan konsep dalam penulisan namun kami tetap mengekalkan kumpulan penulis yang sama dan menyuntik idea yang lebih segar dalam setiap penulisan kami”.

Walau bagaimanapun, setiap pencalonan dinilai mengikut kriteria sesebuah buku. Dalam Kami Puteri Hebat, kriteria utama yang dinilai oleh para juri adalah tema dan moral cerita yang ditampilkan.

Selain itu konsep ilustrasi dan layout buku secara keseluruhan turut menjadi pilihan juri dalam memenangi kategori ini.  

 

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024