Artikel

Meneroka Alam Percintaan

oleh Helmi pada 15 Feb 2005

Alam percintaan adalah alam yang dilalui oleh hampir kesemua individu. Ia berlaku apabila individu itu mempunyai pasangan untuk dating. Pada dasarnya, ia adalah suatu fasa masa yang dilalui oleh pasangan bercinta bagi menyelami hati budi masing-masing, memastikan kesesuaian untuk dijadikan pasangan hidup dan meningkatkan kemesraan bagi memudahkan penyesuaian apabila memasuki alam perkahwinan. Ia selalu digambarkan dengan kemanisan, kebahagiaan, keseronokan dan lain-lain perkara yang indah-indah. Namun, terdapat juga individu yang sering terpedaya dengan keindahan alam percintaan. Kerana hipokrit, sikap dan tingkah laku buruk tidak dipertontonkan. Jika ada pun, pasangannya menganggap ia sesuatu yang remeh dan boleh dipertimbangkan kemudian.

Keasyikan bercinta membuatkan mereka ini memberi tumpuan kepada perkara yang baik dan manis sahaja. Malah, akibat terlalu menurutkan nafsu, ada yang terjerumus ke kancah keruntuhan moral yang begitu menjijikkan. Begitulah antara senario alam percintaan yang cukup hebat pengaruh serta kesannya ke atas keseluruhan kehidupan seseorang individu.

Apa itu cinta?

Cinta adalah emosi manusia yang universal. Cinta juga sejenis perasaan tersendiri yang dilahirkan dalam bentuk tingkah laku. Ia sukar didefinisikan dengan tepat kerana ia bergantung pada konteks rujukan. Malah, ajaran Islam juga menuntut umat-Nya supaya mempunyai perasaan cinta iaitu mengasihi dan menyayangi diri sendiri dengan tidak melakukan perkara mungkar, mengasihi dan menyayangi saudara seagama juga makhluk Tuhan yang lain seperti haiwan dan tumbuhan.

Dalam konteks praperkahwinan, cinta adalah suatu perasaan yang wujud dalam diri individu apabila dia menyukai orang yang berlainan jantina atas sebab tertentu seperti kecantikan paras rupa, kebaikan hati budi, kebijaksanaan, kesihatan fizikal, kemesraan dan keramahan mulutnya. Seseorang juga boleh jatuh cinta disebabkan oleh faktor lain seperti sosioekonomi, bangsa, agama dan pendapatan.

Lelaki dan wanita mempunyai cara tersendiri dalam meluahkan perasaan cinta dan menyatakan komitmen dalam sesebuah perhubungan intim. Pada umumnya, lelaki lebih mementingkan aspek instrumental seperti perkongsian aktiviti dan menjadi teman. Namun, kaum wanita lebih mementingkan aspek emosional iaitu perkara yang berkait- an dengan perapatan, perkongsian rahsia peribadi dan komunikasi.

Cinta adalah aspek penting dalam kehidupan. Oleh kerana itu, cinta memainkan peranan yang besar dan kesannya begitu kritikal ke atas kehidupan. Ini kerana ada individu yang sanggup mengorbankan masa, tenaga, harta benda demi cinta. Malah ada juga segelintir individu yang sanggup mengorbankan maruah dan nyawa demi cinta yang dianggap begitu sejati. Namun, sejauh manakah kita dapat mengetahui bahawa cinta itu sejati, ikhlas ataupun hanya sekadar mainan kehidupan, kupasannya dalam jenis cinta.

Bagaimana lelaki bercinta?

Orang lelaki digeneralisasikan sebagai individu yang mudah tertarik kepada pasangan dan lebih cenderung mendapatkan keseronokan dalam perhubungan. Kebanyakan hubungan yang diwujudkan oleh lelaki adalah dengan hasrat untuk jatuh cinta dengan pasangannya.

Bagaimana wanita bercinta?

Cinta bagi wanita pula adalah sesuatu yang tulus ikhlas. Ia dikatakan sebagai penentu terbaik terhadap masa depan perhubungan intim yang terjalin. Selain tarikan fizikal, wanita lazimnya mempertimbangkan aspek lain seperti emosi dan ekonomi yang ada pada pasangannya sebelum meneruskan hasrat cinta. Wanita juga lebih serius dalam hubungan cinta. Selain itu, wanita lebih ekspresif apabila mereka memberi komitmen yang tinggi pada pasangannya.

Bagaimana lelaki memikat wanita?

Kaum lelaki lazimnya cuba memikat wanita dengan melakukan aksi-aksi tertentu. Antaranya adalah dengan melontarkan satu renungan tajam kepada seseorang wanita yang diminatinya. Ini bertujuan untuk memberitahu bahawa dia begitu berminat dengan wanita itu dan berhasrat supaya mendapat respons atau reaksi positif daripadanya. Selain itu, terdapat juga sesetengah lelaki yang berlagak macho dengan mempamerkan susuk badan yang gagah dengan harapan ada gadis yang akan terpikat atau tertarik padanya. Apabila lelaki berkesempatan untuk berkomunikasi dengan wanita yang diminatinya, dia akan menceritakan berkenaan kebaikan dirinya, kejayaan hidup-nya dan lain-lain gambaran positif berkenaan diri dan kehidupannya. Ini bertujuan untuk memberitahu wanita itu bahawa dia adalah seorang yang baik hati, berwawasan dan berjaya dalam hidup. Tidak kurang juga lelaki yang menunjukkan sikap pemurah sebagai cara hendak memikat wanita. Mereka berbudi dengan memberikan hadiah, belanja makan, mengajak untuk bersiar-siar menaiki kenderaannya dengan hasrat dapat memancing hati wanita itu. Namun, berwaspadalah kaum wanita kerana tidak semua lelaki bersikap ikhlas dan jujur.

Bagaimana wanita memikat lelaki?

Kaum wanita turut mempamerkan aksi-aksi tertentu dengan tujuan memikat lelaki ataupun dengan harapan ada lelaki yang terpikat padanya. Seperti juga lelaki, apabila wanita mula meminati seseorang lelaki, dia memberi renungan tajam dengan harapan lelaki itu menyedari ada individu lain yang menghargai kehadirannya dan memerhatikan gerak-gerinya. Sebagai balasan, wanita mengharapkan respons positif daripadanya. Walau bagaimanapun, tidak semua wanita mempunyai keberanian untuk bertingkah laku demikian. Selain itu, terdapat sesetengah wanita yang menonjolkan diri dengan bersolek supaya ada lelaki yang tertarik padanya. Walau bagaimanapun, kaedah ini agak keterlaluan bagi masyarakat beragama Islam dan perbuatan sebegini biasanya dilakukan oleh orang Islam yang kurang kesedaran keagamaan ataupun kurang berpegang teguh kepada ajaran agama. Malah, Islam hanya membenarkan wanita bersolek dan berhias untuk tatapan suami sahaja.

Wanita juga akan berpenampilan menarik sebagai tujuan memikat lelaki. Penampilan itu adalah daripada berbagai-bagai aspek seperti penonjolan bentuk badan, cara berpakaian dan cara berjalan. Dalam kaedah ini, walaupun seseorang itu kurang kelihatan menarik daripada segi rupa paras, mereka masih boleh lagi kelihatan menarik dengan menggayakan penampilan tertentu. Kesempatan ini harus diambil oleh kaum wanita untuk mempamerkan ciri wanita anggun dan bergaya tetapi pada masa yang sama menjaga kesopanan diri. Ini kerana bagi lelaki, bagi mendapatkan keseronokan, mereka akan berkawan dengan sesiapa sahaja (wanita) asalkan wanita itu respons padanya dan dapat memenuhi keperluan instrumental. Namun, untuk dijadikan teman hidup, mereka tetap memilih wanita yang baik, bersopan santun, berakhlak mulia, menjaga kehormatan diri.

Apakah perlakuan orang bercinta?

Semasa bercinta, terdapat beberapa perlakuan yang lazim dipamerkan oleh kedua-dua pasangan bagi menunjukkan rasa cinta masing-masing. Bagi individu yang suka berterus terang, mereka akan menyatakan perasaan cinta secara lisan tanpa berselindung supaya mesej yang disampaikan adalah jelas.

Namun, ada juga individu yang tidak selesa untuk berterus terang, lalu hasrat cinta dilafazkan secara perlahan-lahan semasa berkomunikasi berkenaan isu seperti perkongsian maklumat diri dan juga kisah semasa ataupun dengan menunjukkan perasaan cinta secara kebendaan contohnya, menghadiahkan bunga mawar ataupun kereta mewah ataupun memberikan wang ringgit. Ada juga yang menunjukkan perasaan cinta secara bukan kebendaan contohnya, menyokong pendapat ataupun menghormati pendirian. Selain itu, terdapat juga yang tidak menyatakan sebarang perasaan cinta, berkomunikasi secara intim atau memberikan hadiah, namun menunjukkan rasa cintanya dilahirkan dengan mendekatkan jarak fizikal apabila mengadakan temu janji (berada pada jarak yang lebih hampir berbanding sebelum bercinta).

Bagaimana proses bercinta?

Individu yang sedang bercinta juga dikatakan melalui beberapa proses sebelum mencapai suatu bentuk hubungan yang benar-benar stabil di mana kedua-duanya sudah bersedia untuk memasuki alam perkahwinan.

Pada peringkat permulaan, kedua-dua pasangan berasa selesa di mana masing-masing saling memahami antara satu sama lain. Dalam hal ini, konsep kufu memainkan peranan penting. Latar belakang individu mempengaruhi kesesuaian kedua-dua pasangan dalam menjalin hubungan.

Apabila kedua-dua pasangan sudah berasa selesa dan serasi, akan timbul keyakinan hendak mendedahkan maklumat diri masing-masing dan berkongsi rahsia peribadi. Walau bagaimanapun, ada juga individu yang berhati-hati dalam mendedahkan maklumat diri kerana masih memikirkan risiko ataupun kesan negatif jika hubungan cinta itu tidak sampai ke jinjang pelamin. Selepas memperoleh keadaan yang selesa juga, masing-masing akan menyatakan perasaan atau hasrat yang tersendiri.

Apabila kedua-dua pasangan sudah berkongsi mak-lumat dan rahsia peribadi serta meluahkan perasaan masing-masing, akan wujud sikap saling memerlukan antara satu sama lain untuk berkongsi berbagai-bagai perasaan seperti gembira, sedih dan sebagainya. Pada peringkat ini, lazimnya aktiviti berjumpa atau dating semakin kerap dilakukan dan hidup seolah-olah tidak lengkap tanpa si dia. Hati seperti tidak tenteram jika tidak dapat bertemu dengan si dia dalam suatu tempoh masa.

Dengan ini, akan wujud suatu keperluan lain yang lebih intim iaitu keperluan untuk sayang menyayangi dan kasih mengasihi. Pada tahap ini, kedua-dua individu berupaya menunjukkan komitmen yang tinggi pada pasangan masing-masing.

Dalam konteks budaya Malaysia, perhubungan itu dikata-kan intim apabila berlaku perkongsian emosi dan wujud komitmen antara dua individu, lelaki dan wanita. Lazimnya, mereka yang intim memperuntukkan sebilangan masa untuk berkongsi aktiviti seperti makan, beriadah dan menonton. Pasangan yang terlibat dalam hubungan intim saling mempercayai antara satu sama lain dan sanggup berkorban apa sahaja demi pasangan. Maka, di sinilah setiap individu perlu sedar dan berwaspada serta memainkan peranan aktif sebagai individu yang berakhlak mulia dan beretika bagi mengelak daripada melakukan perkara yang melanggar norma sosial masyarakat. Ahli masyarakat seperti ibu bapa, jiran tetangga dan rakan taulan yang berada di sekeliling juga perlu berperanan aktif dan bertanggungjawab dalam mengawasi pasangan seperti ini bagi mengelak daripada berlakunya perkara tidak bermoral.

Apakah jenis cinta saya dan pasangan?

Secara sedar ataupun tidak, berdasarkan pengalaman, pembacaan ataupun pemerhatian, setiap individu yang bercinta mempunyai gaya tersendiri dalam menunjukkan rasa cinta masing-masing. Kajian menunjukkan terdapat enam jenis cara gaya cinta yang biasa dipertontonkan oleh individu yang sedang bercinta iaitu Eros, Ludus, Storge, Mania, Agape dan Pragma (Lee, 1973). Walau bagaimanapun, perlakuan cara gaya cinta individu tidak terhad kepada satu sahaja dan boleh berubah mengikut masa dan pasangan yang berbeza.

Eros diklasifikasikan sebagai cinta romantik. Daya tarikan fizikal diutamakan dalam jenis cinta ini (cinta pandang pertama). Cinta jenis ini juga dicirikan oleh percampuran emosi, keasyikan, seksual yang kuat dan mereka yang menggayakan cinta jenis ini ingin menikmati kegemilangan dalam cintanya.

Ludus adalah cinta permainan. Ia digambarkan dengan individu yang mempunyai ciri mementingkan diri sendiri, suka menggoda tetapi tidak inginkan hubungan intim, tidak gemarkan pasangan yang terlalu bergantung, kurang mesra dan tiada rancangan jangka panjang. Cinta jenis ini juga dikelaskan sebagai cinta yang tiada komitmen dan banyak kerahsiaan.

Terdapat juga individu yang lebih menitikberatkan per-kongsian aktiviti berbanding penglibatan emosi yang mendalam dalam hubungannya. Mereka yang sebegini dikategorikan sebagai individu yang menggayakan cinta jenis storge iaitu cinta kawan karib di mana perasaan itu terhasil daripada perhubungan erat dan mesra yang sudah lama terjalin. Mereka yang berada dalam kategori jenis ini dikatakan lebih logikal di mana perkongsian harapan adalah secara terbuka, jarang merajuk dan rasa cemburu dan seandainya perpisahan terjadi, ia tidak akan menimbulkan kerisauan.

Individu yang menunjukkan kecintaan mereka dengan cara yang keterlaluan atau melampau digelar Mania. Mereka ini mahukan rasa kepunyaan dan sentiasa memikirkan berkenaan pasangan, kasih sayang, mahukan perhatian, kepastian dan ketulusan yang berpanjangan. Mereka juga mengawal dan mengongkong pasangan, cemburu buta dan sentiasa berada dalam kerisauan kerana bimbang cinta akan berkurangan atau hilang.

Pragma atau cinta logikal adalah cinta yang lebih praktikal dan realistik. Individu yang menggayakan cinta jenis ini suka memikirkan keuntungan peribadi dalam perhubungan. Mereka juga inginkan keserasian latar belakang mereka dengan pasangan yang ingin didampingi. Perasaan cinta hanya timbul selepas membuat perhitungan bahawa pasangan itu benar-benar layak untuknya.

Agape adalah cinta pengorbanan. Individu yang mempunyai cinta jenis ini berhati mulia, mesra dan tidak mengharapkan balasan daripada orang yang dicintainya serta sedia memaafkan kesilapan pasangannya. Mereka memberikan kasih sayang dengan sepenuhnya, berusaha membahagiakan pasangan dan sanggup menangguhkan kepentingan sendiri demi pasangan. Individu yang berada dalam kategori ini sering ditindas atau dimanipulasikan oleh pasangan. Walau bagaimanapun, mereka menganggap penindasan hanya suatu yang tidak disengajakan!

Sudahkah saudara mengenal pasti jenis cinta saudara sendiri? Sudahkah saudara mengetahui jenis cinta yang digayakan oleh pasangan saudara? Maka, sejauh manakah ketulusan dan keaslian cinta saudara berdua? Sekiranya saudara pasti terdapat penipuan dan penindasan dalam hubungan cinta, apa tindakan yang wajar diambil? Dengan maklumat dan pengetahuan yang ada, jawapan di tangan saudara!

Cinta boleh juga dikelaskan kepada lapan bentuk mengikut variasi kemesraan, komitmen dan keghairahan (Steinberg, 1987).

Liking adalah cinta yang mempunyai dimensi kemesraan sahaja.

Empty adalah cinta yang mempunyai unsur komitmen sahaja.

Infatuation adalah cinta yang dicirikan oleh unsur keghairahan sahaja.

Companionate adalah gabungan kemesraan dan komitmen.

Romantic adalah gabungan kemesraan dan keghairahan.

Fatuous adalah gabungan komitmen dan keghairahan.

Consummate adalah gabungan unsur kemesraan, komitmen dan keghairahan.

Nonlove tiada sebarang komponen cinta.

Bagaimana saya hendak berdepan dengan masalah putus cinta sekiranya ia terjadi?

Fenomena putus cinta adalah lumrah dalam kehidupan terutama ketika zaman remaja. Ia adalah suatu proses yang menyedihkan, namun tahap kesedihan itu bergantung pada tahap keseriusan hubungan yang sudah sekian lama terjalin.

Fenomena ini berlaku atas kerelaan kedua-dua pihak ataupun disebabkan desakan satu pihak sahaja. Ia lazimnya terjadi atas beberapa sebab:

Tiada keserasian atau kesesuaian antara pasangan dalam aspek tertentu.

Mempunyai pilihan yang lebih baik.

Tiada kejujuran

Tiada kesetiaan

Hilang kepercayaan

Walau apa pun yang terjadi, fenomena putus cinta ini tidak perlu dijadikan penghalang untuk kita meneruskan kehidupan ini. Dengan itu, seseorang yang telah mengalami putus cinta harus berfikiran positif dan menerima hakikat kehidupan supaya mengelak daripada berlaku perkara negatif seperti tidak mahu berkahwin seumur hidup, melabel kaum lelaki atau wanita dengan ciri yang negatif dan membunuh diri.

Fikirkanlah rasional-rasional di bawah bagi mengatasi kesedihan dan kekecewaan yang dialami dan seterusnya meningkatkan semangat untuk terus berjuang dalam hidup.

Mengambil langkah lebih berwaspada

Apa yang dialami seeloknya dijadikan pengajaran dan pengalaman yang tidak ternilai harganya. Ini dapat membantu individu ketika berhasrat hendak menjalin hubungan cinta dengan pasangan lain. Fenomena ini juga membuatkan seseorang itu berfikiran lebih matang dalam mengharungi kehidupan yang sememangnya penuh dengan dugaan dan cabaran.

Manusia semuanya tidak sama

Kita tidak boleh beranggapan semua lelaki atau wanita adalah sama. Ini kerana setiap individu mempunyai tret personaliti yang tersendiri. Mungkin selepas daripada peristiwa itu, kita akan menemui seorang insan yang lebih baik dan sesuai untuk kita jadikan teman hidup.

Sudut Informasi

Prejudis

Prejudis adalah sikap emosional yang negatif atau memandang rendah pada kumpulan sosial tertentu. Prejudis dapat mengakibatkan diskriminasi kepada kumpulan sosial itu. Apabila diskriminasi berlaku, sesebuah kumpulan sosial tidak akan mendapat peluang atau hak yang sama rata dalam perkara tertentu.

Contoh, jika saudara (seorang wanita) yang sudah di-kecewakan seorang lelaki, saudara menganggap semua lelaki adalah tidak setia atau jujur dalam percintaan. Ini adalah prejudis kerana saudara meletakkan sikap yang sekata dan tidak rasional kepada golongan itu di atas kesalahan seorang individu sedangkan tidak semua lelaki bersikap begitu.


Oleh yang demikian, mari kita bersama membanteras sikap negatif yang tidak bertempat ini. Antara langkah yang dapat dilaksanakan adalah membuang amalan prejudis, berhati-hati dan jangan mudah percaya dengan stereotaip yang dibuat oleh masyarakat sekeliling, sentiasa ingat berbeza tidak semestinya seseorang itu rendah statusnya dan mencari maklumat berkenaan individu yang ingin didekati secara khusus.

Dia bukan jodohku

Kita harus menerima kenyataan, bekas pasangan kita itu bukan orang yang benar-benar sesuai untuk dijadikan pasangan hidup. Mungkin ini suatu ketentuan daripada Tuhan untuk menunjukkan bahawa si dia bukan jodoh kita.

Sekiranya saudara yang memutuskan hubungan cinta

Ketahuilah bahawa bekas pasangan saudara terluka dan saudara harus benar-benar bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan masalah atau konflik yang berlaku antara saudara dengan bekas pasangan dan juga antara anda dengan masyarakat sekeliling.

Sekiranya saudara ditinggalkan oleh pasangan.

Perasaan sedih, marah dan lain-lain perasaan negatif adalah perkara normal. Saudara perlu menguatkan semangat dan memikirkan bahawa saudara masih dapat hidup gembira tanpa pasangan dan menganggap apa yang berlaku sebagai takdir dan ketentuan Ilahi.

Bagaimana saya hendak mengawal rasa kecewa?

Berikut adalah beberapa teknik ringkas yang sesuai, praktikal dan mudah bagi mengawal kekecewaan dan lain-lain perasaan negatif:

Gambaran berpandu


Individu harus membayangkan imej yang dapat memberi ketenteraman, ketenangan, kerehatan dan faedah lain dengan cara yang realistik. Misalnya membayangkan beliau berada di pantai, melihat kehijauan rimba, berada di tepi air terjun ataupun di kaki gunung. Amalkan se-lama lima minit untuk beberapa kali setiap hari.

Kenal pasti dan terima kelemahan diri

Ramai individu yang meletakkan matlamat yang tidak realistik yang akhirnya memusnahkan diri sendiri. Dengan berlandaskan prinsip tiada manusia yang sempurna di muka bumi ini di samping memikirkan matlamat yang mampu dicapai berdasarkan kekuatan dan kelemahan diri, tekanan dapat diredakan.

Mencari sokongan sosial

Mengikut teknik ini, individu perlu mencari orang yang dapat dipercayai bagi menceritakan masalah atau meluahkan perasaan yang tertekan. Kaedah ini juga berupaya mengurangkan tekanan seseorang.

Menulis berkenaan perasaan

Perasaan, pemikiran ataupun pengalaman yang membuat seseorang itu rasa tertekan diluahkan dalam bentuk tulisan. Kaedah ini juga berupaya membuatkan seseorang itu menghadapi situasi tekanan dengan lebih baik.

Apabila kecewa, bagaimana saya dapat memujuk diri sendiri?

Terdapat banyak perkara positif yang membolehkan saudara mempunyai kehidupan yang lebih baik Katakan pada diri saudara:

Saya masih mempunyai keluarga yang penyayang yang memang sebelum ini pun setia dalam memberi sokongan dalam hidup saya. Banyak lagi aktiviti berfaedah yang dapat dilakukan bersama keluarga tersayang mahupun dengan kawan-kawan yang dapat meninggalkan kenang-an manis dalam hidup saya, misalnya pergi berekreasi, melancong ataupun menonton wayang. Jadikan tindak-an melupakan perkara yang menggugat ketenangan dalam hidup anda suatu kepuasan dalam hidup.

Saya masih mempunyai harta bagi meneruskan ke-hidupan ini. Saya boleh buat apa sahaja dengan harta saya bagi memperoleh kesejahteraan dan kebahagiaan hidup dengan pelbagai cara.

Kekecewaan dalam hidup saya tidak sedikit pun men-jejaskan taraf pendidikan saya. Dengan pendidikan yang baik, saya mampu meningkatkan taraf ekonomi dan mempunyai status sosial yang baik.

Saya berpegang teguh pada takdir Tuhan, kekecewaan yang dialami tidak boleh menggugat keimanan saya. Malah peristiwa sebegini membuatkan saya lebih berpegang teguh kepada ajaran agama dan percaya bahawa segala yang berlaku ada hikmah di sebaliknya.

Sedarlah bahawa kehilangan kekasih bukan bermakna saya kehilangan pekerjaan. Malah peristiwa sebegini berupaya membuatkan saya lebih tekun dan komited terhadap tugas di pejabat.

Kegagalan dalam satu perkara dalam hidup masih tidak mampu memusnahkan keseluruhan matlamat hidup saya. Begitu banyak alternatif yang boleh difikirkan dalam mengejar matlamat hidup.

Saya juga mempunyai hobi. Tumpuan yang lebih boleh diberi kepada hobi terutamanya pada waktu lapang supaya seluruh kehidupan diisi oleh aktiviti yang penuh bermakna. Hobi juga dapat mendatangkan kepuasan dan kegembiraan dalam hidup saya.

Kesihatan diri harus mendapat keutamaan dalam apa juga keadaan. Tahap kesihatan yang baik membolehkan saya melakukan pelbagai aktiviti berfaedah. Jangan terlalu mengikut kata hati.

Saya masih ada ramai saudara, kawan yang dapat menyokong saya sewaktu saya susah dan sedih.

Saya perlu membina harapan baru walaupun selepas mengalami pelbagai peristiwa sedih dan menyayat hati, harapan baru perlu dibina dalam diri untuk terus berjuang dalam hidup.

Sudut Informasi

Bandingan kadar tekanan

Tahukah saudara, peristiwa yang berlaku dalam sesebuah hubungan erat (cinta) berupaya menimbulkan tekanan pada diri saudara? Tekanan yang dialami ini jika tidak diatasi bakal mengundang masalah psikologi yang lebih serius yang mampu menggugat seluruh kesejahteraan hidup saudara.

Berikut adalah bandingan kadar tekanan (0 hingga 100) yang dialami berdasarkan suatu kajian ke atas golongan remaja.

Mempunyai kekasih yang penipu 85

Putus cinta 85

Masalah kewangan 84

Menipu kekasih 77

Berkrisis dengan kekasih 73

Mengekalkan hubungan cinta 55

Membina hubungan (cinta) baru 47

(Petikan Buku Soal Jawab Praperkahwinan oleh Noralina Omar)

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024