Artikel
Mengubah Budaya : Membaca sebagai Ibadah Pada Bulan Ramadan
oleh [email protected] pada 13 Aug 2009
Al-Quran adalah kitabullah yang diturunkan pada bulan Ramadan. Kelebihan bulan Ramadan sebagai bulan membaca tidak dapat disangkal lagi apabila setiap kali menjelang Ramadan, Rasulullah dan para sahabat aktif mengulangkaji bacaan al-Quran.
Mungkin secara kebetulan atau ada hikmah yang tersembunyi, kalimah pertama yang diturunkan di dalam al-Quran pada bulan Ramadan adalah “Iqra'” bermakna, “Bacalah.” Sudah tentu ayat ini tidak membataskan bacaan al-Quran secara tilawah sahaja bahkan menuntut umatnya supaya mengkaji dan membaca buku-buku tambahan bagi memantapkan iman dan mengukuhkan ilmu ibadat. Dari sini, para sahabat mengembang ilmu al-Quran, menjadi penafsir dan penterjemah serta membukukan khazanah-khazanah ilmu yang tidak ternilai harganya. Rasulullah menyatakan kelebihan orang berilmu, “Seorang yang berilmu itu lebih susah dipengaruhi syaitan daripada seribu orang abid (ahli ibadah).” (Hadis direkodkan oleh at-Tirmizi dan Ibnu Majah)
Daripada sebuah kitab yang mengandungi 30 juzuk, 140 surah, ilmu-ilmu Islam terus berkembang pesat hingga mengubah suatu bangsa daripada kehidupan Jahiliyah kepada bangsa yang bertamadun. Jelas Islam mengusai empayar-empayar yang dahulunya mustahil untuk dikalahkan. Rom, Parsi dan Jerusalem berjaya dibuka oleh umat Islam dengan mempunyai pemahaman yang tinggi tentang maksud al-Quran.
Walaupun Islam berjaya membina peradaban, buku-buku ilmiah tidak pernah dipinggirkan. Justeru, lahir pusat-pusat cendekiawan bagi mengkaji dan menulis ilmu-ilmu baharu. Baik daripada sumber al-Quran mahu pun falsafah Yunani, semuanya direkod dan disimpan untuk generasi akan datang. Antara contoh teragung adalah usaha menterjemah buku-buku daripada bahasa Yunani, Parsi dan Syiria ke dalam bahasa Arab. Usaha ini terus berkembang pesat pada zaman pemerintahan Abbasiah. Antara buku yang diterjemahkan adalah buku mengenai bahasa, sastera, etika, falsafah, perubatan dan pemerintahan.
Pembacaan al-Quran tidak semestinya terbatas dengan aktiviti-aktiviti tilawah dan tadarus sahaja. Malah, pemahaman al-Quran juga perlu digarap dengan majlis-majlis ilmu dan bacaan-bacaan tambahan bagi menguatkan pemahaman berkenaan Islam itu sendiri. Rasulullah berkata. "Apabila kamu melalui taman-taman syurga, minumlah sehingga puas. Para sahabat bertanya,ya Rasulullah, apakah yang dimaksudkan dengan taman-taman syurga itu? Nabi menjawab, "Majlis-majlis ilmu."
Tanpa mengabaikan kelebihan amalan-amalan baik sepanjang bulan Ramadan, PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd. mengajak para Muslimin dan Muslimat supaya menjadikan bulan Ramadan ini sebagai bulan membaca. Tema yang diutarakan adalah Ramadan tetamu yang dirindui, bulan perjuangan, bulan Nuzul Quran, mencerdaskan minda, mencari Lailatul Qadr dan menunaikan Haji ke Mekah.
PTS melihat bulan Ramadan perlu diisi dengan aktiviti membaca kerana secara umumnya umat Islam mempunyai lebih banyak masa rehat yang tidak diisi dengan makan dan minum. Justeru, masa ini perlu dimanfaatkan dengan sekurang-kurangnya sehari selembar halaman buku. Istimewanya bulan Ramadan adalah ia sebagai bulan muhasabah amalan yang lepas bagi memperbaiki amalan pada tahun berikutnya. Antara cara terbaik memperbaiki amalan yang lepas adalah dengan mengukuhkan ilmu dan antara cara yang termudah adalah dengan membaca.
Selain memeriahkan bulan Ramadan dengan aktiviti membeli juadah berbuka puasa, bulan Ramadan juga perlu meriah dengan aktiviti ke perpustakaan, kedai-kedai serta pengedar buku. Masa yang terluang pada bulan ini adalah masa yang terbaik bagi membaca. Sekiranya pada bulan lain, masa banyak dihabiskan dengan makan dan minum di luar, kenapa tidak masa itu digantikan dengan duduk dan membaca buku?
Ada beberapa cadangan dirancang bagi merancakkan lagi ibadah bulan ini, antara langkah-langkah yang boleh diturut serta:
(a) Menggalakkan penyertaan pertubuhan NGO bagi mengadakan aktiviti-aktiviti berkaitan membaca sepanjang Ramadan. Kerjasama yang lebih erat perlu dijalin antara NGO-NGO dengan penerbit dan pengedar buku bagi mendapatkan lebih banyak judul buku, diskaun harga dan bekalan ke lokasi-lokasi tertentu.
(b) Menyeru kepada penerbit-penerbit buku supaya mengadakan diskaun istimewa bagi menggalakkan pembaca membeli dan membaca buku tertentu khusus pada bulan Ramadan.
(c ) Menggiatkan aktiviti wakaf buku kepada organisasi-organisasi yang memerlukan seperti masjid, sekolah, rumah kebajikan dan sebagainya.
(d) Bekerjasama dengan media cetak dan media elektronik bagi menyiarkan pandangan buku, artikel, aktiviti diskusi, debat dan sebagainya bagi sesuatu buku. Lebih sesuai sekiranya diwujudkan satu kolum/ rancangan bagi rakyat Malaysia berkongsi pandangan tentang sesuatu buku yang dibaca.
(e) Penyertaan badan kerajaan bagi mempromosikan kempen membaca pada bulan Ramadan ke setiap jabatan, bahagian dan sebagainya. Selain itu, aktiviti ini boleh digerakkan ke setiap negeri, daerah dan kawasan-kawasan bandar dan luar bandar.
(f) Aktiviti-aktiviti masjid, surau boleh digiatkan dengan membaca buku. Antara masalah ketara di kebanyakan masjid dan surau adalah kekurangan bahan bacaan selain daripada mushaf, yasin dan tahlil. Adalah suatu langkah murni sekiranya individu atau badan yang bermurah hati mewakafkan sebahagian buku-buku yang berkualiti di pasaran untuk jemaah surau dan masjid.
(g) PTS juga giat mempromosikan kempen membaca sepanjang bulan Ramadan. Sebagai pendahuluan, PTS menyediakan lebih 27 judul buku dengan potongan harga istimewa pada bulan Ramadan ini. Bagi memeriahkan kempen ini, PTS menyeru penerbit-penerbit dan pengedar-pengedar buku supaya tampil mengadakan promosi dan diskaun istimewa sepanjang bulan Ramadan.
Besarlah harapan PTS sekiranya kempen ini berjaya dan mendapat sokongan daripada pelbagai pihak. Semoga apa yang dirancang dan diusahakan mendapat sebaik-baik ganjaran di akhirat kelak.