Artikel
Menyusuri karya Naguib
oleh Helmi pada 08 Sep 2006
Anda mungkin bertanya-tanya, bagaimana lelaki dari Dunia Ketiga ini menemukan kedamaian fikiran untuk menulis? Untungnya seni itu bermurah hati dan berperasaan, sebagaimana seni hadir bagi mereka yang berbahagia, seni juga tidak meninggalkan mereka yang menderita.
Seni menawarkan kedua-duanya untuk mengungkapkan apa yang terbuku di dada mereka. Demikianlah reaksi spontan Naguib Mahfouz ketika diumumkan berita kemenangannya sebagai penerima Anugerah Nobel Sastera pada 1988.
Bagi Dunia Barat ketika itu, bagaimana mungkin sebuah Dunia Ketiga, khususnya Dunia Arab yang tidak pernah berhenti berkonflik, perang mampu menghasilkan seorang novelis. Bagi Dunia Arab pula, mereka kini kehilangan seorang sasterawan bertaraf dunia yang pergi buat selama-lamanya pada 30 Ogos dalam usia 94 tahun.
Memang Naguib adalah penulis Arab pertama yang memenangi Anugerah Nobel, seorang sasterawan yang dikagumi sekali gus kontroversi. Namanya mula mendunia apabila menghasilkan trilogi novel yang dikenali trilogi Kaherah pada tahun 1956 hingga 1957. Novel-novel ini menjadikannya pelukis kehidupan kota tradisional di kalangan sasterawan Arab. Dikisahkannya kehidupan keluarga Sayyid Ahmad Abdul Al-Jawad selama tiga generasi, bermula dari Perang Dunia Pertama hingga tahun 1950 ketika Raja Farouk 1 diguling daripada kekuasaannya.
Setiap novel dalam trilogi ini dinamai jalan atau bahagian di kota Kaherah. Bayn Al-Qasrayn (Palace Wall) dilatari pendudukan Inggeris di Mesir pada awal abad ke- 20. Novel kedua, Qasr Al-Shawq (Palace of Desire) melingkupi masa-masa peralihan sekitar tahun 1920-an, sedangkan novel ketiga Sukkariya (Sugar Street) membawa pembaca pada pertengahan abad ke-20.
Dalam novel ini, ketua keluarga digambarkan telah tua dan lemah dan digantikan cucu lelakinya sebagai tokoh utama. Novel ini kaya dengan ragam, perwatakan, dan pemahaman psikologis serta meletakkan Naguib setaraf dengan Balzac, Charles Dickens dan Leo Tolstoy. Dan di kalangan sasterawan Arab, Naguib memperoleh julukan nama Balzac dari Mesir.
Aku menulis sejak kecil, kata Naguib. Mungkin itu kerana aku membaca banyak buku yang ku kagumi dan bercita-cita untuk menulis sebuah suatu masa nanti. Di samping itu kecintaanku pada dunia tulis-menulis amat mendorongku, ujar Naguib. Ia bercita-cita menjadi penulis setelah membaca buku King Solomons Mine. Sebagai mahasiswa jurusan falsafah di Universiti Raja Fuad 1 (sekarang Universiti Kaherah), Naguib banyak terdedah kepada karya-karya pengarang luar khususnya Barat. Ia membaca karya-karya Ian Proust, William Faulkner dan James Joyce. Naguib mulai menyerap nilai-nilai demokrasi, nasionalisme bahkan dalam keadaan tertentu menyanjung nilai nihilisme.
Di kalangan pengagumnya, Naguib dipuji kerana keteguhan pembelaannya terhadap pandangan demokrasi di sebuah negara yang penuh kediktatoran yang menindas. Ini ditulisnya dalam novel Miramar (1867), di mana ia menggambarkan Mesir sebagai seorang gadis di sebuah rumah pelacuran. Gadis itu bernama Miramar yang mempunyai langganan para bangsawan yang feudalis, gadis itu menolak semua cinta pelamar-pelamar palsu yang memberikan hadiah-hadiah mewah kerana cintanya hanya diberikan kepada seorang pemuda miskin yang menjual surat khabar tetapi jujur dan berhati mulia. Di kalangan pengkritiknya, ada yang menilainya sebagai pendorong politik Zionis Israel, bahkan ada yang menyifatkan kemenangan hadiah Nobelnya ada hubungan dengan sokongannya pada perjanjian Camp David antara Israel dan Mesir yang dianjurkan oleh Amerika Syarikat. Buku- buku karangannya pada suatu ketika dilarang beredar di kebanyakan negara Arab kerana sokongannya kepada Presiden Anwar Sadat yang berdamai dengan Israel.
Setelah berakhirnya Perang Arab-Israel tahun 1067, Naguib mengkritik dasar-dasar Presiden Gamal Abd. Nasser melalui tulisan-tulisannya. Dalam novel Al-Karnak, ia menulis tentang penangkapan dan penyeksaan orang-orang Mesir yang baik oleh para perisik negara.
Nama Naguib terus memuncak apabila ia menulis novel Awlad Haritna yang sebenarnya kisah bersiri yang disiarkan dalam akhbar Al-Ahram mengungkapkan kehausan manusia atas agama serta kekeliruan manusia antara agama dan makna hidup. Novel ini merupakan alegori unik tentang sejarah manusia dari awal hingga sekarang.
Sepanjang hayatnya, Naguib telah menulis 32 buah novel, 13 kumpulan cerpen dan sekitar 30 naskhah drama. Di usia senjanya, Naguib nyaris menjadi buta dan pernah selamat daripada ancaman pembunuhan. Yusuf Idris, seorang sasterawan Mesir dalam menilai keluarbiasaan Naguib menulis pernah berkata: Ia menulis setiap hari selama 50 tahun kecuali Khamis dan Jumaat, hari yang ia selalu bertemu dengan rakan-rakan dan para intelektual Kaherah. Naguib seorang pendengar yang baik tetapi suka berdebat.
Akademi Sweden yang menganugerahkan Hadiah Nobel menyifatkan karya-karya Naguib kaya dengan nuansa pemikiran yang membangun rasa kemanusiaan antara tragedi dan realisme sosial. Dalam pidato penerimaan anugerah Hadiah Nobel, Naguib menyatakan bahawa dirinya adalah anak kelahiran daripada dua kebudayaan, iaitu kebudayaan Mesir kuno dan kebudayaan Islam. Yang dipamerkannya daripada kebudayaan Mesir Kuno bukanlah kemampuan orang-orang di zaman Firaun itu membangunkan piramid, melainkan catatan bahawa pada zaman itu pernah terjadi satu sidang mahkamah yang adil terhadap seorang terdakwa, sementara tentang kebudayaan Islam pula, Naguib tidak bercerita panjang tentang keagungan Nabi Muhammad s.a.w atau zaman kegemilangan Islam. Dia justeru mengisahkan bahawa dalam salah satu perang dengan tentera Bizantium, tentera Muslim membebaskan seluruh tawanan perang dengan imbalan koleksi buku-buku warisan Yunani Kuno tentang falsafah perubatan dan matematik. Ini menurut Naguib, adalah pengakuan orang-orang beriman terhadap semangat manusia untuk menuntut ilmu, meskipun ilmu itu daripada kebudayaan asing. Dari dua kebudayaan itulah, kata Naguib, dia mendapatkan sentuhan dan siraman sastera dan kebesaran.
Oleh SHAHAROM TM SULAIMAN