Artikel

Misi Hero: Hilal Asyraf Cipta Kelainan

oleh Mohamad Bahruddin Mohamad Bekri pada 17 Dec 2012

Pada ketika pasaran buku sains fiksyen Malaysia dilonggokkan dengan kisah-kisah adiwira barat, Hilal Asyraf hadir dengan pembaharuan. Jelas beliau merasakan tanggungjawab beliau sebagai seorang penulis, menuliskan kisah adiwira yang mementingkan proses tarbiyah.

Beliau tidak sahaja tahu memberi komen dan bertanya mengapa? Beliau bertindak dan menuliskan jawapannya melalui novel ini.

Novel remaja ini mengambil kisah seorang remaja bernama Akmal. Selepas kematian kedua ibu bapanya, dia diletakkan di sebuah rumah anak yatim, Kompleks Tuju Penyayang di Kota Bharu. Sepanjang berada di rumah anak yatim itu, Akmal sedih kerana asyik dibuli oleh tiga pelajar yang bernama Remy, Que dan Man.

Namun begitu, ada seorang senior yang sering mengambil berat tentang dirinya iaitu Abang Fauzan. Akmal sering berasa sedih dan mempersoalkan mengapa Allah mengujinya sedemikian rupa. Akmal sebenarnya anak orang berada, namun segala harta hanya dapat diwarisinya selepas dia berusia 20 tahun.

Pada suatu hari, Akmal mengalami kemalangan ngeri semasa mahu melintas jalan menuju ke sekolah. Dia hampir meninggal dunia kerana cedera teruk, namun berjaya diselamatkan selepas badannya dimasukkan satu cip yang bernama Elemen Baru.

Malaysia pada masa itu pula dikawal oleh pasukan keselamatan yang terdiri daripada anggota polis dan kumpulan khas bernama Hero yang terdiri daripada orang bujang (kerana perlu mengawasi negara 24 jam, jadi orang berkahwin tak diambil masuk team Hero). Hero ini mempunyai kuasa luar biasa dan memakai sut khas yang membolehkan mereka terbang dan kuat.

Pada suatu hari, Akmal diburu oleh kumpulan penjahat antarabangsa Ryuken. Mereka mahukan cip Elemen Baru yang dimasukkan ke dalam tubuh Akmal. Dengan adanya cip itu, mereka dapat menguasai dunia kerana cip itu adalah sumber kuasa baru yang kuat dan berharga. Pada masa yang sama Hero berusaha menyelamatkan Akmal daripada dibunuh oleh Ryuken.

Bermulalah kisah Akmal yang penuh cabaran dan suspens. Berjayakah Ryuken menemui Akmal? Berjayakah Hero menyelamatkan Akmal, dan berjayakah Akmal menjadi seorang Hero? Semuanya terjawab dalam novel remaja ini, Misi Hero.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024