Artikel

Nisah Haron Terima Hadiah Sasterawan Muda MASTERA 2017

oleh Asri Yussof pada 13 Sep 2017

MASTERA - Majlis Sastera Asia Tenggara untuk tahun 2017 telah menyampaikan Hadiah Penghargaan Sasterawan Muda MASTERA kepada Puan Nisah Haron pada 11 september lalu di Jakarta.

Nisah Haji Haron (atau nama penanya, Nisah Haron) ialah seorang peguam dan penulis buku. Beliau dilahirkan pada 20 April 1973 di Seremban, Negeri Sembilan. Beliau pernah bertugas sebagai Peguam Syarie di Negeri Sembilan dan mempunyai firma guaman sendiri iaitu Nisah Haron & Co.

anugerah

Selain itu, beliau merupakan penulis separuh masa yang menulis karya kreatif, ilmiah dan rencana. Beliau telah dikurniakan Pingat Masyarakat Cemerlang (PMC) oleh DYMM Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan sempena Hari Keputeraan ke-84 pada 19 Julai 2006.

nisah haron

Beliau mula menulis sejak tahun 1988 dan karya pertama tersiar di dalam majalah Dewan Siswa (1990) berjudul “Di Sebalik Wajahmu, Aries”. Antara anugerah penulisan yang pernah dimenanginya ialah Hadiah Sastera Perdana Malaysia (1996/97) melalui cerpennya “Persidangan Agung Wanita Klasik”, Anugerah Sastera Negeri Sembilan 2005 & 2007, Hadiah pertama Hadiah Sastera Berunsur Islam ke-12 melalui cerpennya Aset Istiqamah.

anugerah MASTERA

Hadiah Penghargaan Sasterawan Muda MASTERA juga diberikan kepada Hajah Noorhamizah (Penerima dari Brunei) dan Hassan (Penerima dari Singapura). Kesemua pemenang bergambar dengan bendera negara masing-masing menjadi latar.

MASTERA adalah majlis serantau yang mewakili lembaga pemerintah setiap negara anggota. Keanggotaannya terdiri daripada tiga kelompok, iaitu Negara Pendiri, Negara Anggota dan Negara Pemerhati. MASTERA kini dianggotai oleh negara Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia, Singapura dan Thailand.

MASTERA atau Majlis Sastera Asia Tenggara dipersetujui pada asasnya oleh tiga Negara Pendiri (Brunei Darussalam, Indonesia dan Malaysia) dalam Kongres Bahasa Melayu Sedunia pada 25 Ogos 1995, yang diwujudkan untuk bidang sastera. Singapura telah menjadi negara anggota pada tahun 2012 manakala Thailand pada 18 September 2014.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024