Artikel

Panduan Lengkap Mencakupi Semua Aspek dalam Islam: Manusia dan Islam

oleh Muhamad Syarafuddin bin Sulaiman pada 29 Jun 2015

Apabila bercakap soal Islam, sering kita dengar perkataan syumul. Bahasa lainnya, sempurna. Islam itu sempurna, meliputi segala hal.

Pada masa yang sama, apabila Islam itu menyentuh segala perkara, maka pastilah ada terlalu banyak benda.

Akan sarat kepala dengan banyak bahan yang perlu dibaca bagi memahami segala aspek Islam itu.

Di sinilah istimewanya buku Manusia dan Islam.

Ditulis oleh panel yang diketuai oleh Dr. Haron Din (pada masa itu seorang profesor di Universiti Kebangsaan Malaysia), buku ini dihasilkan bagi memenuhi satu keperluan khusus: Buku yang mencakupi setiap aspek dalam Islam, tetapi untuk bacaan ramai. Hanya satu buku sahaja, tetapi ada semua.

Subhanallah.

Meneliti kandungannya sahaja, kita sudah dapat melihat betapa panel penulis berusaha menyentuh isi-isi penting dalam ajaran Islam.

Ada soal akidah atau kepercayaan, kepada persoalan berkaitan muamalat (tatacara perhubungan, antaranya melibatkan ekonomi), munakahat (pernikahan), akhlak, dan ibadat.

Bukan sekadar topik atas yang disentuh. Ada juga persoalan seperti jihad, hak wanita, dan pelbagai lagi poin-poin utama yang lain.

Membacanya bukan sahaja memperkenalkan kita kepada Islam secara keseluruhan, bahkan satu ulang kaji yang cukup baik.

Mengapa dikatakan begitu?

Kerana apabila kita sudi mengambil masa bagi membaca dan memahami ilmu yang disentuh, kita akan mula melihat satu cara hidup yang sepenuhnya.

Islam itu bukan sekadar puasa dan solat. Sekalipun kedua-dua itu penting, tetapi buku Manusia dan Islam membuktikan Islam juga punya jawapan kepada persoalan berkaitan Darwinisme mahupun sosialisme. Juga mengapa kita perlu tahu di mana titik sama dan beza, antara Islam dengan pelbagai fahaman yang lain.

Jawapan yang dipilih panel juga cukup piawaiannya. Tidak semata-mata menjawab dengan ala kadar, fakta yang ditawarkan setara dengan teori yang dicabar.

Kemudian, tidak hanya ditulis dengan fakta-fakta yang kering, panel penulis Manusia dan Islam menyelitkan kisah-kisah yang mampu menyentuh emosi.

Seolah-olah mereka bukan sahaja mahu meraikan logik minda, bahkan turut mahu menyentuh hati.

Apabila kita membaca Manusia dan Islam, kita melihat Islam daripada sumber-sumbernya yang asas: Al-Quran dan sunnah.

Panel juga mengetengahkan rujukan daripada kitab-kitab muktabar Islam bagi menjelaskan lagi isu yang subjektif.

Islam datang bagi menjawab soalan-soalan besar, dan Manusia dan Islam tidak gagal bagi mengetengahkan jawapan-jawapan kepada persoalan itu. Ini sekalipun mungkin ada jawapan yang ringkas.

Dari mana kita datang dan ke mana kita akan pergi? Kita ini hidup untuk apa? Bagaimana mahu mengukur baik mahupun buruk? Adilkah ada yang miskin dan ada pula yang kaya?

Boleh dibayangkan betapa besar usaha yang dilakukan panel bagi memuatkan segala macam aspek Islam ke dalam satu buku.

Maka, sekiranya kita berasa tidak cukup waktu, satu buku ini insyaallah berbaloi dibeli dan disimpan.

Apa lagi untuk naskah terbaru ini, bukunya juga ditawarkan dalam pakej yang cukup menawan.

 Font yang digunakan segar dan moden. Susun aturnya mudah dan warna-warni. Ada pula balutan bagi melindungi buku, riben bagi memudahkan pembaca menanda, dan kulit keras bagi menaikkan lagi imej premium buku. Kemudian, buku Manusia dan Islam ini diberikan bersekali dengan woven bag bagi memudahkan ia dibawa ke mana-mana.

Saya sudah memilikinya. Tuan puan bila lagi?

 

 

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024