Artikel

Pendedahan Kebenaran: Anarkis

oleh Siti Zulfatihah Zahari pada 12 Apr 2016

Novel Anarkis ini, sarat dengan misteri penyiasatan yang dibongkarkan satu per satu melalui teknik penceritaan imbas kembali. Membacanya seolah-olah pembaca sedang memperlihatkan siri-siri kekejaman yang membuta tuli dilakukan melalui watak utamanya, Awai Anak Gamung.

Dia seorang Angkatan Tentera Malaysia, tetapi masih ada lagi kebaikan serta keperimanusiaannya meskipun dianggap penjenayah yang kurang waras oleh seluruh masyarakat Malaysia, SAS Britain, serta pihak berkuasa.

Buku ini berunsurkan penyiasatan sepenuhnya. Pembunuhan demi pembunuhan yang berlaku meninggalkan jejak yang tidak masuk akal.

Seolah-olah pembaca akan berfikir dan meneka siapakah dalang di sebalik pembunuhan kejam ini.

Elemen yang mendebarkan akan bersama pembaca menyelongkar satu per satu tanda tanya dan misteri mengapa SAS Britain bertindak melemparkan Awai sebagai penjenayah yang paling dikehendaki pihak berkuasa.

Selain itu, wujud juga unsur pertempuran berlatarbelakangkan kota metropolitan Kuala Lumpur.

Ia digarap dengan berkesan sehingga pembaca mampu membayangkan detik-detik pertempuran dahsyat dengan adegan tembak-menembak di sekitar stesen komuter dan bandar Kuala Lumpur.

Barangkali, ia mengangkat kembali siri penyiasatan dalam novel Marxim Gorky; The Useless Of Man tidak lama dahulu kerana ada unsur yang agak berkait. Tetapi, tidak seluruhnya.

Novel ini menggambarkan pemburuan yang dilakukan oleh Skuad Tentera Upahan dari Britain bagi menghancurkan suspek utamanya, Awai,

sehingga dia merasakan ketidakadilan tidak lagi berpihak padanya. Seolah-olah undang-undang adalah musuhnya.

Seluruh manusia mengeji tindakannya tanpa menyelidik perkara yang sebenar. Dan, tiada sesiapa lagi yang boleh dia percaya.

Lantaran itu, dia terpaksa menjadi anarkis!

Olahan penceritaan lansung tidak mengecewakan. Sangat mudah untuk difahami dan membuat gambaran-gambaran yang baik di minda setiap pembaca.

Tidak terlalu keliru dengan setiap watak yang ditonjolkan. Masing-masing mempunyai karakternya yang tersendiri.

Ini membuatkan plot cerita ini kelihatan lebih menarik. Bagi pembaca yang dahagakan buku bertemakan penyiasatan thriller gaya ala-ala siri kartun Jepun iaitu Conan, buku Anarkis ini layak untuk anda baca.

Percampuran pelbagai watak-watak penyiasat seperti Arman Ghani, Patrick, Kolonel Nurazlan, Ejen Doyle, Jagjit Kaur, Sir Anthony Mourse, dan termasuk Adrianne, si wartawan yang begitu laparkan informasi-informasi terkini tentang kes ini, membangkitkan aura pengabdian misi yang luar biasa.

Tetapi, ternyata di penghujung novel ini meninggalkan pembaca dengan tanda tanya yang tidak pasti.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024