Artikel
Penerbit Asia Jalin Kerjasama Melalui TCC
oleh Roziyah pada 19 Apr 2011
Bermula dari 20 hingga 23 April 2011 ini, penerbit-penerbit dari asia akan mengambil tempat dalam Trade & Copyrights Centre Kuala Lumpur (TCC) 2011 bagi menjalin kerjasama dalam bidang penerbitan dan hak cipta.
Pesta Perdagangan dan Hakcipta ini merupakan salah satu aktiviti di bawah naungan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2011 (PBAKL 2011) yang juga pesta buku terbesar di Malaysia.
PTS juga tidak melepaskan peluang menyertai TCC yang berlangsung selama 4 hari ini di tingkat 5, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.
TCC yang melibatkan penerbit dari negara-negara Asia ini memberi peluang kepada PTS selaku penerbit buku berbahasa Melayu di Malaysia bagi membawa buku-buku PTS ke peringkat antarabangsa.
Antara penerbit lain yang terlibat dalam pesta TCC ini termasuklah Al-Ameen Serve Holding Sdn Bhd, Persatuan Penterjemah Malaysia dan banyak lagi.
Penerbit antarabangsa yang terlibat termasuklah EQ Plus Group Company Limited dari Thailand, Mizan Publishing House dari Indonesia, Big Apple Agency dari China dan banyak lagi.
PTS melalui setiap anak syarikatnya membawa buku-buku terpilih dan menarik bagi dilesenkan di luar negara.
Melalui TCC ini juga, PTS sudah menetapkan temujanji bersama beberapa penerbit besar termasuklah Mizan Publishing House, Big Apple Agency, Plan For Kids dan banyak lagi.
Melalui pertemuan ini, PTS mengharapkan yang lebih banyak buku-buku terbitan PTS dapat dibawa ke luar negara bagi dibaca oleh semua golongan masyarakat.