Penerokaan Galaksi:Opera Angkasa

oleh Asri Yussof pada 07 Apr 2016

20160406_164324

Novel sains fiksyen ini diadun dengan pelbagai saduran elemen daripada filem-filem sains fiksyen. Pengalaman membacanya seolah-olah berada dalam dunia fiksyen berlatarbelakangkan Star Wars (Disney), tetapi budaya dicedok daripada Guardian of Galaxy (Marvel).

Namun, kuat juga berbaur Alam Melayunya. Bagi pembaca yang meminati dunia utopia berlatarkan angkasa serta pengembaraan antara galaksi, wajar rasanya novel perang angkasa ini dicadangkan kepada pembaca genre sci-fi.  

Mungkin ada juga sedikit pengaruh Man of Steel (DC Comics), iaitu kaum Krypton (Planet asal Superman) yang menjadi penjelajah angkasaraya dan melakukan proses terraform bagi  mengambil alih planet yang lain. Novel ini menggambarkan bagaimana manusia menjadikan planet lain sebagai tempat tinggal dan menjadi bangsa penjajah di alam semesta dan membina koloni angkasa bak fantasi anime GUNDAM (Bandai Inc.).       

Lebih menarik apabila penulis mengangkat Bahasa Melayu sebagai bahasa perantara pada masa hadapan, ketika zaman penerokaan angkasa kelak. Ringgit juga menjadi mata wang antara galaksi. Ia adalah mata wang yang bernilai tinggi ibarat Dollar dan Pound Sterling sekarang. Perasaan membaca buku ini seolah-olah angkasaraya ini kelak berada di alam Melayu, dan berada di nusantara berdasarkan lenggok bahasa dan budayanya. Keterikatan antara sastera Melayu dan pengembaraan angkasa disatukan dengan baik, walaupun dua perkara ini sebenarnya agak janggal untuk diadun bersama.      

Cuma ada sedikit kejanggalan apabila kisah yang berlatarbelakangkan beberapa millennium dari sekarang hanya mengenang beberapa tokoh sastera dan politik abad lepas. Seolah-olah berlaku kekosongan yang antara tahun 2000 sehingga millennium yang memungkinkan penerokaan angkasa.

Lebih menarik jikalau kita dapat dibayangkan satu andaian masa depan yang berlegar tentang politik, pendidikan, sosio budaya, dan konflik pada abad ini dan beberapa abad kedepan supaya penceritaan lebih membawa pembaca lebih dekat dengan realiti. Tidaklah pembaca rasa seperti dibawa ke masa hadapan terlalu cepat.        

Kemudian, perkembangan watak disusun dengan baik, cuma ada beberapa watak yang dimatikan peranannya begitu sahaja. Seolah-olah hilang daripada cerita walaupun pada awalnya adalah watak penting seperti Ilyana. Selain menceritakan secara terus objektif dan matlamat hidup watak-watak utama seperti Arman, Razi, Ted, Nikki, dan Faridah Hanum, mungkin lebih menarik jikalau sisi-sisi hidup mereka dikembangkan lebih banyak.

Ini untuk pembaca memahami konflik diri, falsafah kehidupan yang terbentuk bagi menghidupkan watak masing-masing supaya pembaca lebih mengenali watak yang ditonjolkan. Cerita yang menarik, tetapi tanpa watak yang benar-benar dikenali dan difahami pembaca. Ada, mungkin tidak cukup ‘deep’ bagi sesetengah pembaca. 

Kemunculan Villain atau watak jahat utama dalam novel ini juga tidak dikembangkan dengan sepenuhnya. Pembaca tidak dapat melihat motif sebenar dan asas tindakan mereka, objektif mereka tampak samar dan terlalu di permukaan.

Kemunculan mereka selaku pemain utama di sebalik kerja kotor terlalu sedikit, watak sampingan pula lebih ditonjolkan seolah-olah lebih utama daripada penjahat utama. Kadang-kadang keliru, siapa yang lebih jahat; sama ada Senator Hashim yang tamakkan kuasa mutlak ataupun Tok Dalang yang mahukan kuasa atas alasan ‘perjuangan suci’.

Dari segi plot, mudah untuk difahami dan menarik untuk pembacaan santai. Ada juga bahagian-bahagian tertentu yang agak klise dan mudah dijangka, tetapi tidak sampai mengganggu sepenuhnya mood pembaca. Bagi pembaca yang baru berjinak dengan genre sci-fi yang bertemakan penerokaan angkasa, novel ini disarankan untuk dibaca.

Tetapi, bagi pembaca sci-fi thriller yang sukakan kepada plot-twist seperti Interstellar, penceritaan yang gelap dan brutal serta berat untuk dicerna semisal Aliens kepunyaan Ridley Scott, novel ini bukan untuk anda. 

Kepada pembaca yang dahagakan aksi, boleh sahaja bayangkan pertempuran yang berlaku ibarat aksi tembak menembak Millennium Falcon yang dipandu oleh Han Solo dan Chewbacca yang bertembung dengan Starfighter. Ataupun medan pertempuran kapal Enterprise dalam francais Star Trek. Pertempuran antara pesawat dan pertempuran menggunakan senjata api; semuanya diadun dalam novel ini. 

Tetapi, novel sci-fi ini juga memerlukan pembaca yang matang bagi memahami coup d’etat dan tahu kesan besar pembunuhan yang berskala planet dan koloni. Pertembungan antara nilai kemanusiaan dan ketamakan kepada kuasa yang dibawa sebagai pertelingkahan utama ‘putih ataupun hitam’ ataupun ‘baik vs jahat’ adalah satu tema yang sesuai sepanjang zaman.

Konflik ini menggambarkan dari dulu sehingga kini, sejak perang bertombak sehingga perang angkasa, manusia bertelingkah kerana berebutkan kuasa mutlak dan ingin menjadi kepala autoriti sejagat. Dan manusia yang berkuasa sentiasa akan korup. 

Seperti kata-kata Lord Acton, sejarawan Inggeris, “Power tends to corrupt and absolute power corrupts absolutely.” 

Ada satu lagi elemen yang menarik, penulis cuba sampaikan kepada pembaca, iaitu tentang pembohongan sejarah, dalam konteks novel ini tentang Perang Milennia. Benar, cerita ini sendiri fiksyen tetapi pengajaran tentang mereka yang melupakan dan menggelapkan sejarah sentiasa menghantui manusia dan membuatkan kita lupa tentang asal usul dan jati diri.

Namun, sejarah walaupun pahit, perlu tetap ditelan supaya kita sentiasa berpijak di dunia yang nyata. Tetapi apakan daya;

“History is written by the victors”, Walter Benjamin. 

Barangkali novel sains fiksyen ini bukan novel yang terbaik, tetapi novel ini tetap memberi kepuasan untuk dibaca. Jikalau kita boleh menanti sekuel kepada siri-siri novel sci-fi barat seperti Mockingjay dan Divergent, tidak keterlaluan rasanya jikalau Opera Angkasa perlu diberi peluang yang sama untuk dibaca dan dinantikan penyambung kepada pengembaraan angkasa ini lagi.


Wallahualam.