Artikel

Penjelasan Tentang Akidah & Ibadah: Fatwa Kontemporari Jilid 3, Siri 2 (Akidah & Ibadah)

oleh Asri Yussof pada 30 Nov 2015

Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) menjadi bualan dan perhatian rakyat Malaysia selepas berlakunya insiden penyelewengan, salah guna dana, lebihan pembayaran gaji kepada pengurusan atasannya dan kursus kahwin yang dianjurkan di Paris.

Hal ini telah menyebabkan 3,000 penyumbang dana Amal Jariah (Skim Potongan Gaji) yang menarik diri daripada menyumbang kepada Yapiem.

Sering saja dalam membincangkan berkenaan jariah (sedekah) dan tuntutan zakat, antara kedua-dua perkara ini, ianya tidak saling berjauhan. Apa yang ingin disentuh disini adalah, jawapan Qaradhawi terhadap soalan daripada Persatuan Kebajikan Qatar, adakah menggunakan duit zakat untuk urusan pentadbiran dibenarkan?

Jawapan ini ada dimuatkan oleh beliau didalam bukunya Fiqh Kontemporari Jilid 3, Siri 2.

Sebagai pengurus yang bertanggungjawab menguruskan kutipan zakat ini, pihak pengurus boleh mendapatkan sebahagian daripada hasil zakat yang dikutip. Kemudian membahagikan zakat itu kepada bahagian yang berhak di sisi syarak. Ia boleh digunakan bagi memenuhi keperluan dana pengurusan berkaitan kutipan, sama ada dalam jumlah yang sedikit ataupun banyak.

Seterusnya memastikan kesinambungan proses itu berdasarkan apa yang diperlukan.

Organisasi juga dibenarkan bagi mengurangkan keperluannya mengikut kadar yang dicadangkan, iaitu antara 5 hingga 10% untuk disumbangkan kepada penerima yang lain mengikut ketentuan organisasi.Maka organisasi ini melaksanakan tugasan negara dalam mengumpulkan harta, hasil dan sumbangan untuk diagihkan kepada golongan yang berhak.

 Apa yang dimaksudkan di sini adalah, meneliti perbelanjaan dan pengeluaran dana organisasi secara umumnya, dan harta zakat secara khususnya. Jangan membelanjakan pada perkara yang tidak perlu dengan sewenang-wenangnnya dan membazir.

Ini kerana pada asalnya, harta ini adalah milik golongan yang berhak mendapatnya, bukan untuk pihak organisasi. Organisasi digalakkan mewujudkan pengurusan yang baik dan pengawasan yang ketat, pasti membolehkan ia (duit ummah) diuruskan dengan selamat. Lalu, harta itu sampai kepada penerima.

Hal ini bagi mengelakkan kemungkinan sebahagian mereka menaikkan kadar perbelanjaan pengurusan dalam jumlah yang lebih besar daripada jumlah asal sehingga tidak boleh dikurangkan. Fatwa adalah perkara penting dalam hidup kita sebagai pembimbing dalam setiap langkah kehidupan kita. Tanpa fatwa, muslim akan hidup tanpa tujuan.

Mereka melaksanakan ibadah dan muamalat tanpa ada panduan, barangkali mungkin ada dalam kalangan kita yang tergelincir dari gaung atau ada yang sekadar terseliuh, itulah analoginya.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2020