Artikel

Penulis Muda : Tunas Super StoryMorie Certot #2

oleh Chayu Afifi Noordin pada 26 Jan 2016

Buku Penulis Tunas Super Storymorie Certot #2 mengumpulkan beberapa antologi cerita pendek yang ditulis oleh penulis cilik berumur tujuh hingga dua belas tahun.

Mereka berbakat dalam menulis dan menghasilkan karya masing-masing sehingga mendapat gelaran Penulis Tunas Super. Inilah yang menariknya. Jujur saya katakan, kehadiran buku Antologi Cerita Kontot ini mampu menjadi daya tarikan kepada kanak-kanak di luar sana yang berminat untuk berkarya.

Bahkan, ia sebagai satu dorongan dan platform untuk mereka menyertai Pertandingan Penulis Tunas Super yang seterusnya.

Penulis Tunas Super adalah satu program penulisan yang mengetengahkan bakat menulis dalam kalangan murid-murid sekolah rendah.

Program ini bermula pada tahun 2013 dan setakat ini telah melahirkan 25 orang penulis cilik dari pelbagai negeri. Mereka telah menghasilkan hampir 30 buah novel. Pertandingan Certot Penulis Tunas Super Storymorie diadakan bagi membuka lebih banyak peluang kepada murid-murid sekolah rendah untuk turut-serta.

Buku setebal 103 muka surat ini mempunyai dua belas tajuk. Setiap cerita sarat dengan nilai murni, motivasi, dan kisah yang layak diteladani. Gaya penulisan yang santai dan sederhana sesuai dengan adik-adik yang bersekolah rendah. Menariknya, terdapat gambar dalam setiap cerita yang membuatkan adik-adik teruja ketika membaca buku ini.

Antara tajuk dalam buku ini adalah, Jejaka Amnesia, Lelaki Itu, Kasut Ajaib Abon, Kami Berjuang Keranamu!, Bolaku, Semangat, Mahu Jadi Juara, Manis, Perlawanan Di Angkasa, Kekurangan Bukanlah Penghalang, Aku Yang Istimewa dan Sabarlah, Amira!. Mesti adik-adik sudah membayangkan bagaimana keseluruhan cerita melalui tajuk ini, bukan?

Buku ini sesuai untuk adik-adik yang masih tidak lancar dalam penulisan. Jadikan buku ini sebagai pembakar semangat adik-adik menjadi penulis muda.

Selamat menjadi penulis muda!

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024