Artikel

Penulis Novel SIMULASI Berjaya Angkat Tema Kemanusiaan dan Kritikan Sosial

oleh Hafiz Hafifi Hassan pada 24 Jan 2017

Naratif novel ini agak perlahan sebelum masuk kepada elemen penting yang menjadi tonggak cerita. Pembaca akan dibuai dengan drama kehidupan distopia rakyat Malaysia menjelang tahun 2032.

12 tahun selepas berlalunya Wawasan 2020 dan 18 tahun sebelum Transformasi 2050 dijangka menjadi realiti. Penulis bijak mengaitkan perihal yang berlaku hari ini seperti skandal 1MDB dan juga kesan pembinaan MRT kepada warga kota.

simulasi

Penulis membayangkan Malaysia semakin pesat membangun tetapi kualiti hidup rakyat merudum dan tekanan masyarakat memuncak, tidak sepadan dengan pembangunan.

Dunia penuh dengan manusia-manusia yang bersemangat individualistik. Latar zaman banyak diterangkan oleh penulis supaya pembaca dapat memahami konteks masyarakat.

alone

Bab-bab awal novel ini merungkai siapakah Syukri, Fateha dan Nora yang menjadi watak utama dalam novel ini. Pengalaman membaca bab-bab awal tidak terasa seperti membaca novel sci fi bergenre thriller, tetapi seolah membaca naskah drama konflik kekeluargaan.

Permulaan yang agak perlahan dan mendatar tetapi memberi ruang kepada perkembangan watak-watak dalam novel. Sedikit sebanyak mampu memberi gambaran realiti dan kisah latar serta falsafah watak-watak yang wujud.

Kemudian pembaca diperkenal dengan watak The Machina yang merupakan mekanisme kepada simulasi realiti dan juga menjadikan para android menjadi lebih manusia. Mirip kepada peranan Agent Smith dalam trilogy The Matrix dimana dia boleh mengawal keadaan dalam simulasi tetapi dalam dunia realiti tidak berkuasa.

as

Disini penulis ingin membawa pembaca khayal bersama dalam simulasi realiti sehingga terkeliru; sebenarnya ada berapa banyak simulasi? Yang mana satu bukan simulasi dan yang mana satu realiti sebenar.

Penceritaan agak kompleks ibarat sekotak puzzle yang berselerak, perlu dibaca dan dicantum keseluruhan novel barulah gambaran sebenar boleh dinikmati.

Asas kepada novel ini adalah simulasi sebagaimana yang tertera sebagai tajuk buku dan pembaca akan melayari dunia simulasi yang disulam dengan pelbagai konflik.

Novel ini perlu dibaca dengan teliti supaya tidak ada point yang kita  terlepas dan tidak terbabas merentas garis masa serta tidak terkeliru dengan penceritaan yang meliputi beberapa simulasi yang mempunyai naratif cerita yang berlainan.

Beberapa simulasi berlaku serentak dan watak-watak yang sama memainkan peranan dan cerita yang berbeza disetiap simulasi.

Penulis juga bijak membawakan tema kemanusiaan dalam naskah ini.

Persoalan tentang manusiawi yang timbul secara tak langsung mengajak pembaca turut memikirkannya.  Hakikatnya, persoalan-persoalan yang dibawa dalam novel ini relevan dengan kehidupan kita seharian.

Sedikit sebanyak mampu mendekatkan pembaca dengan realiti dalam novel.

reading

Pasti kita pernah terfikir, adakah dengan mengambil hak kemanusiaan sebahagian kecil manusia demi kemaslahatan umat manusia sejagat itu satu tindakan yang ‘manusiawi’? Ataupun kita lebih berperikemanusiaan apabila sanggup membiarkan umat sejagat terkorban semata-mata demi hak-hak sebahagian kecil kelompok manusia terjaga.

Persoalan seringkas; bahagia dalam penipuan atau derita dalam kebenaran juga diputar dan menjadi elemen penting dalam novel ini.

corporate

Kemajuan berkenaan Artificial Intelligent(AI) turut diselit sebagai peneraju dalam konflik-konflik yang mendatang. Pertarungan antara mencipta dan yang dicipta. AI cuba melawan manusia yang mencipta atau dengan istilahnya ‘rebel’.

Sebenarnya sejak beribu tahun lagi konflik yang dicipta melawan yang mencipta berlaku dalam sejarah peradaban manusia sebagaimana Firaun mengaku dialah Tuhan.

Kemajuan sains dan teknologi kadangkala menghanyutkan manusia dan seolah merasakan diri telah melangkaui kuasa Tuhan, hakikatnya selamanya tidak mampu menyaingi karya yang Maha Mencipta. Konflik yang dicipta merasa diri Tuhan turut disadur dalam naratif penceritaan.

 Bagi yang mahukan sesuatu yang baru dan segar, novel ini mungkin tidak dapat memenuhi nafsu serakah bibliophile anda kerana tema, konflik dan pergelutan yang dirangkum dalam novel ini wujud dalam lambakan novel sci fi thriller dan juga mirip kepada adunan beberapa filem sci fi.

Namun, pembaca dijanjikan dengan naratif yang tidak cliché, menarik dan pembaca akan sentiasa tertunggu tunggu apa yang akan berlaku seterusnya.

penulis

(Penulis SIMULASI, Lokman Hakim di tengah)

MENARIK: Tahun 2032 Sebuah Realiti atau Sekadar Simulasi

Klik di sini untuk membeli novel Simulasi

 Tidak keterlaluan rasanya untuk mengatakan novel ini merupakan adunan banyak filem-filem sci fi terkenal seperti The Matrix, Blade Runner ataupun konsep anime Sword Art Online(berkenaan simulasi) mahupun filem thriller Inception arahan Christopher Nolan(simulasi mimpi, deep sleep etc).

nolan

Konsep dan juga teori tentang simulasi, realiti-fantasi, pembendungan populasi, humanoid-android dirangkum dalam sebuah novel. Pembaca yang menginginkan unsur-unsur sebegitu boleh mendapatkan naratif yang diharapkan dalam karya Lokman Hakim ini.

Semoga review tanpa spoiler ini membantu bakal para pembaca. Selamat membaca!

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024